
Setelah beberapa bulan kewujudannya diacah dan imej tertiris, akhirnya Insta360 Luna Ultra dilancarkan di Malaysia hari ini. Kamera gimbal kompak ini unik kerana dilengkapi dwi-kamera sedangkan secara lazimnya hanya satu kamera diberikan.

Gimbal lima paksi memberikan kestabilan ketika melakukan. rakaman video dan gambar. Ia dilengkapi lensa sudut lebar dipadankan dengan sensor 1″ serta lensa Leica Summicron f/1.8 dan lensa telefoto dengan 1/1.3″ f/2.0 dengan kemampuan zum sehingga 12X. Kemampuan rakaman video ialah sehingga 8K30fps, Dolby Vision, dan 10‑bit I‑Log. Rakaman gambar pula sehingga 37MP UltraPhotos atau panorama 200MP.

Kerana penggunaan lensa Leica, perisian menawarkan profil warna Leica Natural, Vivid, dan Chrome seperti pada kamera Xiaomi. Terdapat sokongan penstabilan, penjejakan objek, dan teknologi AI membantu menyunting serta mencari babak menarik secara automatik.

Yang menjadikan kamera ini unik (selain dwi-kamera) ialah skrin sesentuh yang boleh ditanggalkan. Skrin 2″ OLED ini kemudiannya boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh sehingga 20m. Storan adalah agak kecil iaitu 47GB sahaja tetapi kad microSD boleh digunakan untuk menambah storan sehingga 1TB.
Bateri 1550 mAH disertakan bagi memberikan tempoh rakaman sehingga 4 jam. Pengecasan pantas disokong membolehkan bateri dicas sehingga 80% dalam masa hanya 23 minit.
Di Malaysia Insta360 Luna Ultra dijual pada harga RM2999 dalam pilihan warna Cosmic Black dan Stellar White.



