DJI Lito dilancarkan semalam dengan dua model berbeza iaitu DJI Lito X1 dan Lito 1. Siri ini merupakan usaha DJI untuk menjadikan dron mesra pengguna yang baru belajar menggunakan dron lebih berkuasa dalam masa yang sama mudah digunakan. DJI juga memposisikan siri Lito antara Mini 4K dan Mini 5 Pro.

Siri ini merangkumi Lito 1 dan Lito X1 yang berkongsi sebahagian besar perkakasan dalaman yang sama. Lito 1 merupakan model asas, manakala Lito X1 pula hadir sebagai model lebih canggih. Kedua-duanya mempunyai berat kurang daripada 249 gram sekali gus termasuk dalam kategori yang tidak memerlukan pendaftaran FAA di pasaran tertentu. Selain itu, kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan sistem pengesanan halangan omnidirectional serta boleh dilipat dan mudah dibawa ke mana-mana.

Selain itu, sistem transmisi DJI O4 dengan paparan video 1080P yang stabil serta 4G turut disediakan bagi memastikan sambungan lebih lancar ketika penerbangan. Dari segi bateri, tempoh penerbangan standard adalah selama 36 minit manakala model berkapasiti tinggi mampu mencapai 52 minit.
Di samping itu, sistem penglihatan omnidirectional berfungsi untuk mengelak halangan, seterusnya diikuti dengan ciri penjejakan subjek, mod rakaman pantas dan panorama yang ditawarkan sebagai tambahan bagi meningkatkan keupayaan kreatif sepanjang penerbangan.

Bagaimanapun, Lito X1 menambah sensor LiDAR bagi pengesanan yang lebih tepat. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sensor CMOS 1/1.3 inci, julat dinamik sehingga 14 hentian dalam video HDR serta storan dalaman berkapasiti 42GB. Sensor yang digunakan juga berbeza kerana Lito 1 hadir dengan sensor 1/2 inci beresolusi 48MP yang mampu merakam foto 8K dan video 4K/60fps. Sementara itu, Lito X1 pula menggunakan sensor yang lebih besar iaitu 1/1.3 inci dengan resolusi sama namun menyokong rakaman 4K/60fps HDR, rakaman perlahan 4K/100fps serta 10-bit D-Log M.

Merujuk kepada laman Shopee, Lito X1 ditawarkan pada harga antara RM1,479 hingga RM2,659 bergantung pada jenis model. Sementara itu, Lito 1 pula dijual pada harga antara RM1,189 hingga RM1,669 bergantung pada model yang dipilih. Perbezaan penawaran ini adalah disebabkan oleh pakej yang disertakan bersama aksesori tambahan termasuk kipas, bateri dan pelbagai kelengkapan lain.




