DJI Osmo Mobile 8P telah dilancarkan di China dengan beberapa pembaharuan. Ia hadir sebagai gimbal kamera dengan modul paparan boleh tanggal yang dipasang secara magnetik dan boleh ditanggalkan untuk penggambaran jauh. Modul ini turut berfungsi sebagai alat kawalan jauh nirwayar dan dilengkapi skrin kawalan yang memaparkan pandangan kamera secara langsung. Melalui skrin tersebut, pengguna boleh memilih subjek untuk diikuti dengan lebih mudah dan tepat.

Selain itu, ia dilengkapi dengan tuil kawalan khusus yang boleh digerakkan bebas tanpa had arah. Ciri ini membolehkan pengguna mengawal gimbal dengan lebih mudah, melakukan zoom dengan lancar serta melaras pencahayaan mengikut keperluan. Osmo Mobile 8P turut hadir dengan ciri pintar Smart Follow 8.0 yang menawarkan sistem penjejakan subjek lebih stabil walaupun dalam persekitaran sesak.


Gimbal ini juga disertakan dengan Tracking Module 2 yang bukan sahaja mampu menjejaki manusia, malah boleh digunakan untuk menjejaki haiwan peliharaan, serta objek atau kenderaan Modul tersebut turut dilengkapi lampu pencahayaan tambahan dengan kawalan kecerahan dan suhu warna yang boleh dilaras terus melalui alat kawalan.

DJI Osmo Mobile 8P menyokong Apple DockKit dengan sambungan segera melalui NFC dan Bluetooth. Ia turut dilengkapi ciri terbina seperti rod sambungan, tripod, lampu pencahayaan tambahan, bateri yang mampu bertahan sehingga 10 jam serta port USB-C untuk mengecas telefon ketika rakaman. Fungsi tambahan seperti kawalan gerakan tangan, pergerakan kamera automatik dan bantuan komposisi juga disediakan bagi memudahkan pengalaman rakaman pengguna.

Osmo Mobile 8P dijual di China dengan tiga pilihan pakej. Versi standard ditawarkan pada harga RMB 899 (~RM521). Versi dengan sokongan AI yang hadir bersama Tracking Module 2 pula berharga RMB 1,099 (~RM637). Sementara itu, pakej paling lengkap iaitu Vlog Combo yang merangkumi Tracking Module 2 serta DJI Mic Mini 2 dijual pada harga RMB 1,299 (~RM753).

Setakat artikel ini ditulis, tiada pengumuman rasmi mengenai harga untuk pasaran Malaysia.




