
DJI Mic Mini 2S ialah versi lebih canggih daripada Mic Mini 2 sebelum ini dengan fokus pada rakaman berkualiti tinggi serta integrasi lebih baik dengan kamera DJI.

Dari segi audio asas, kedua-duanya masih mengekalkan kualiti 48kHz/24-bit. Namun, Mic Mini 2S menawarkan tambahan rakaman 32-bit floating-point yang mampu menangkap suara dengan lebih jelas tanpa pecah. Ia turut dilengkapi dengan storan dalaman sehingga 14.5GB yang membolehkan rakaman berulang sehingga 28 jam, serta sokongan sehingga empat pemancar (transmitter) serentak dalam mod mono atau stereo.

Mic Mini 2S hadir dengan ciri AI Noise Reduction yang lebih pintar dengan dua tahap iaitu Weak Noise Reduction untuk kegunaan dalam bangunan dan Strong Noise Reduction untuk persekitaran luar yang bising. Selain itu, ia turut menawarkan tiga profil gaya bunyi iaitu Default, Full dan Bright.

Mic Mini 2S juga boleh berhubung terus dengan kamera DJI seperti Osmo Pocket dan Osmo Action melalui Bluetooth tanpa memerlukan penerima (receiver) tambahan. Dari segi bateri, ia mampu bertahan sehingga 40 jam dengan bantuan pod pengecas dengan jarak sambungan audio mencapai sehingga 400 meter.

Di China, DJI Mic Mini 2S ditawarkan dalam beberapa pakej jualan. Antaranya ialah satu penerima (receiver) dengan dua Pemancar (transmitter) bersama pod pengecas pada harga RMB1,199 (~RM718), pakej satu-ke-satu pada harga RMB629 (~RM377), serta pakej mudah alih untuk telefon pada harga yang sama. Selain itu, pemancar (transmitter) tunggal dijual pada harga RMB399 (~RM239), manakala penutup magnet edisi khas ditawarkan pada harga RMB199 (~RM119).



