Kemaskini baharu DJI telah menimbulkan perasaan bercampur baur dalam kalangan pengguna khususnya pemilik Osmo Pocket 4. Hal ini demikian kerana melaluinya mereka mengesahkan kehadiran Osmo Pocket 4P yang akan dilancarkan di pasaran global tidak lama lagi. Ini bermakna pasaran Malaysia juga akan mendapat penawarannya dalam masa terdekat.

Ia masih menggunakan DNA Osmo tetapi dilengkapi dwi-kamera dengan sokongan lensa utama 1″ dan telefoto 3x zum optik. Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan oleh DJI namun berdasarkan spesifikasi tular, lensa telefotonya boleh mempunyai panjang fokus 70mm, sensor 1/1.5 inci, 6x “lossless zoom” dan sehingga 12x zum maksimum. Selain itu, ia dipercayai mampu merakam video 4K/240fps serta menyokong 14 hentian julat dinamik dengan warna 10-bit D-Log.

Spesifikasi lain dijangka termasuklah gimbal mekanikal 3-axis, ActiveTrack terbina untuk penstabilan, skrin sesentuh boleh dilipat serta storan terbina sehingga 128GB. Status terkini menunjukkan DJI masih belum mendedahkan tarikh pelancaran rasmi, manakala sebahagian spesifikasi belum disahkan kerana hanya berpunca daripada maklumat tular semata.

Dalam perkembangan lain, bagi yang ingin mendapatkan Osmo Pocket 4 boleh berbuat demikian dengan harga bermula RM1,999 untuk Standard Combo manakala RM2,599 untuk Creator Combo yang hadir bersama DJI Mic 3, lampu Pocket 4 Fill Light serta beberapa aksesori tambahan.



