
KUALA LUMPUR 17 Dis – DKSH Business Unit Healthcare mengumumkan kerjasama strategik dengan Reckitt bagi memperkukuhkan pengedaran, liputan komersial dan operasi jenama kesihatan dan kebersihan pengguna terkemuka Reckitt di Malaysia.
Di bawah perjanjian ini, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran menyeluruh termasuk jualan, pemasaran, pengedaran, logistik serta pengurusan kredit dan kutipan, secara eksklusif dalam saluran farmasi perubatan dan bebas di seluruh negara.
Kerjasama ini meliputi pelbagai jenama terkenal Reckitt seperti Gaviscon, Strepsils, Nurofen, Cardiprin, Durex, Bonjela, Optrex, Dettol, Veet, Woodwards, Glucolin, Senokot, dan Fybogel, sejajar dengan matlamat Reckitt untuk membentuk operasi bertaraf dunia dalam sektor kesihatan dan kebersihan pengguna.
Kerjasama ini juga membina atas kejayaan DKSH di rantau Asia, termasuk kolaborasi dengan Reckitt di Vietnam dan Thailand, serta hubungan sedia ada DKSH Malaysia dengan Mead Johnson Nutrition, subsidiari Reckitt yang lain.
Pengurus Besar Malaysia & Singapura Reckitt Ankur Chaudhary berkata pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan DKSH Malaysia yang memiliki keupayaan pengedaran kukuh dan kepakaran dalam sektor kesihatan yang menjadikan mereka rakan kongsi yang dipercayai.
“Kerjasama ini menyokong misi kami untuk menjadikan jenama kami lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden Healthcare dan Ketua Kepimpinan Negara DKSH Sandeep Tewari berkata pihaknya berbangga untuk mengembangkan kerjasama sedia ada dengan Reckitt.
“Dengan rangkaian komersial luas, kepakaran mendalam dan kecemerlangan logistik DKSH, kami berhasrat memacu pertumbuhan mampan, memperluas capaian pasaran Reckitt dan memberi impak positif kepada profesional kesihatan serta pengguna,” katanya.
Kerjasama ini menekankan komitmen kedua-dua syarikat untuk meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat pengembangan pasaran dan menyokong hasil kesihatan yang lebih baik untuk pengguna di Malaysia, selaras dengan tujuan bersama mereka untuk memperkayakan kehidupan dan memajukan kesihatan untuk semua.
Reckitt merupakan peneraju global dalam sektor kesihatan, kebersihan dan pemakanan pengguna manakala DKSH, dengan pengalaman 160 tahun, menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran termasuk pengedaran, logistik, pemasaran dan jualan, serta perkhidmatan selepas jualan di 36 pasaran. - DagangNews.com


