
KUALA LUMPUR 17 Dis – Kelantan komited untuk memperkasakan kerjasama dengan setiap kementerian serta agensi kerajaan di peringkat pusat bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 berjalan lancar.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan Datuk Ab. Pattah Hasbullah berkata hubungan baik antara kerajaan negeri, kementerian dan agensi pelaksana sangat penting bagi memastikan projek-projek tersebut dapat direalisasikan serta memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Sebanyak 129 projek baharu telah diluluskan untuk Kelantan dan kerajaan negeri bersedia membantu melaksanakan projek-projek ini dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Wacana Awam RMK13 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Program wacana awam itu bertujuan menyediakan platform bagi rakyat dan pihak berkepentingan untuk membangkitkan isu serta mengemukakan cadangan bagi pelan tindakan RMK13.
Menurut beliau, sesi libat urus ini membantu memastikan pembangunan fizikal dan bukan fizikal selari dengan keperluan semasa rakyat.
“Kerajaan Negeri Kelantan telah menyelaras permohonan projek di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) tahun 2026 kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.
“Alhamdulillah, sebanyak 129 projek baharu diluluskan di bawah RP RMK-13 dan Kelantan komited untuk menjalin kerjasama baik ini demi manfaat rakyat,” katanya.
Ab. Pattah berkata sesi libat urus yang dilakukan itu adalah platform penting yang membolehkan pandangan rakyat di peringkat akar umbi diambil kira, sekaligus memastikan perancangan pembangunan lebih relevan dan berkesan.
Program ini turut dihadiri wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, guru-guru dan alumni, menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk melibatkan semua pihak dalam proses perancangan pembangunan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya Datuk Dr Anis Yusai Yusoff berkata pihaknya amat menghargai usaha kerajaan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam menganjurkan program tersebut.
“INPUMA dilantik oleh Kementerian Ekonomi untuk meneliti isu-isu berkaitan penyediaan insentif bagi RMK13.
“Slot ‘Anda Cakap, Kami Dengar dan Catat’ membolehkan maklum balas rakyat dikumpulkan dan dianalisis untuk dinilai kesesuaiannya dijadikan polisi kerajaan.
“Semua maklumat yang diperoleh akan dibincangkan secara terperinci bagi memahami isu yang dibangkitkan rakyat, sekaligus membantu merumuskan dasar pembangunan yang lebih berkesan,” katanya.
Program Wacana Awam RMK13 menekankan pendekatan inklusif dan kolaboratif dalam pembangunan negeri, memastikan semua pihak, termasuk rakyat, diberikan peluang untuk menyumbang idea bagi pembangunan Kelantan yang mampan. - DagangNews.com



