
KUALA LUMPUR 17 Dis – MIDF Berhad telah menjalin kerjasama strategik dengan Intangible Assets Commercialisation & Strategy Association (IACSA) untuk memperluas pembiayaan berasaskan harta intelek (IP) dalam sektor kewangan negara.
Susulan kerjasama itu satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai semasa sesi IACSA Meja Bulat Penilaian IP & Kewangan.
Dalam kenyataan hari ini, MIDF berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan pendekatan yang lebih sistematik dan diyakini bagi penilaian serta pembiayaan IP, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk beralih ke arah ekonomi berteraskan inovasi dan aset tidak ketara.
Menurut kenyataan itu, IACSA akan berperanan sebagai platform neutral yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh termasuk pemain industri, institusi akademik, pengamal penilaian, pembuat dasar, pelabur serta rangkaian antarabangsa.
MIDF pula akan mengembangkan inisiatif pembiayaan berasaskan IP selaras dengan mandat pembangunan institusi kewangan tersebut.
Kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembentukan rangka kerja penilaian dan pembiayaan IP yang lebih tersusun, peningkatan tahap keyakinan pasaran serta pengurusan risiko bagi pembiayaan berasaskan IP, di samping mempromosikan model pembiayaan baharu yang membolehkan aset tidak ketara diiktiraf sebagai nilai ekonomi yang boleh dibiayai.
Pengerusi MIDF Berhad Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata kerjasama ini mencerminkan hala tuju MIDF untuk melangkaui kaedah pembiayaan konvensional dengan memberi tumpuan kepada potensi harta intelek sebagai sumber nilai ekonomi.
“Melalui kerjasama dengan IACSA sebagai platform neutral, Malaysia mempunyai peluang untuk muncul sebagai hab serantau dalam pengkomersialan IP, dengan inovasi disokong oleh disiplin pasaran, tadbir urus yang jelas serta rangka kerja penilaian yang diyakini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MIDF, kerjasama strategik ini dijangka meningkatkan daya saing Malaysia dalam landskap IP global dengan memacu pertumbuhan berasaskan inovasi merentasi industri utama, di samping menggalakkan kerjasama serantau dan ASEAN dalam amalan penilaian serta pembiayaan IP.
MoU ini juga selari dengan aspirasi nasional untuk membangunkan ekosistem inovasi yang berdaya tahan serta meningkatkan peranan aset tidak ketara sebagai pemacu kepada pembangunan ekonomi negara.
Susulan itu, MIDF dan IACSA akan menubuhkan kumpulan kerja khusus bagi melaksanakan strategi yang dipersetujui, membangunkan dasar serta model pembiayaan yang praktikal dan memperluas kerjasama serantau bagi menyokong penyelarasan amalan IP di peringkat ASEAN.
Dalam jangka panjang, kerjasama ini menyasarkan pembinaan ekonomi IP yang mampan serta mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pengkomersialan aset tidak ketara, dengan memastikan idea, inovasi dan modal intelek dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar. - DagangNews.com

