
SEREMBAN – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan memutuskan tiga individu yang sebelum ini dikaitkan dengan jawatan Undang Luak tidak mempunyai kedudukan sah di sisi undang-undang.
Tiga individu berkenaan ialah Mubarak Thahak yang dikaitkan dengan jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Abdul Rahim Yasin (Undang Luak Rembau) dan Datuk Maarof Mat Rashad (Undang Luak Jelebu).
Dalam kenyataan hari ini, DKU memaklumkan jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu telah diberhentikan mengikut adat luak masing-masing.
“Bagi jawatan Undang Luak Rembau pula, DKU memutuskan pelantikan berkenaan tidak pernah disempurnakan mengikut adat ditetapkan serta tidak melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang.
“Justeru, ketiga-tiga individu terbabit tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk menjalankan fungsi di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS),” katanya.
Keputusan itu dibuat dalam persidangan DKU semalam yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Persidangan tersebut turut dihadiri Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Seri Menanti, sekali gus memenuhi syarat korum seperti diperuntukkan di bawah Fasal 20 UUTKNS.
Dalam persidangan sama, DKU menerima keputusan Waris, Anak Buah dan Ibu Soko Waris Berundang daripada tiga Perut Kemin iaitu Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban untuk memecat Datuk Maarof Mat Rashad sebagai penyandang pusaka Undang Luak Jelebu Ke-16. – KOSMO! ONLINE
The post DKU Negeri Sembilan putus tiga individu tiada kedudukan sah sebagai Undang Luak appeared first on Kosmo Digital.






