
PETALING JAYA: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengisytiharkan dokumen bertarikh 19 April lalu sebagai tidak berperlembagaan, sekali gus memutuskan tiga individu yang dikaitkan dengan jawatan Undang tidak mempunyai kedudukan sah di sisi undang-undang.
Setiausaha DKU dalam satu kenyataan berkata, pengumuman berkenaan bercanggah dengan Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut perundangan.
Katanya, DKU turut memutuskan bahawa Mubarak Thahak, Abdul Rahim Yasin dan Datuk Maarof Mat Rashad masing-masing telah terhenti daripada memegang, atau tidak pernah secara sah memegang jawatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau serta Undang Luak Jelebu.
“Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Jelebu telah diberhentikan mengikut adat luak masing-masing pada tarikh yang ditetapkan, manakala pelantikan bagi Undang Luak Rembau pula tidak pernah disempurnakan mengikut adat serta tidak melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang.
“Sehubungan itu, DKU menegaskan ketiga-tiga individu berkenaan tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk menjalankan sebarang fungsi atau melaksanakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya hari ini
Dalam persidangan sama, DKU turut mengesahkan pelantikan Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan Datuk Raja Hassan Ab. Hamid sebagai Undang Luak Rembau.
Kedua-dua pelantikan itu dibuat selepas mereka melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang pada 27 Jun lalu.
Keputusan tersebut dibuat dalam persidangan DKU yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 31 Julai.
Kerajaan Negeri Sembilan turut diarahkan supaya melaksanakan semua keputusan yang telah dipersetujui oleh Dewan itu. – UTUSAN
The post DKU Negeri Sembilan isytihar dokumen 19 April tidak sah appeared first on Utusan Malaysia.






