DNB dikhuatiri rugi RM1.5 bilion dalam tiga tahun selepas pemindahan ekuiti kepada syarikat telekomunikasi - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
13 Jul 2026 • 2:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DNB dikhuatiri rugi RM1.5 bilion dalam tiga tahun selepas pemindahan ekuiti kepada syarikat telekomunikasi - CIMB Securities Image from: DNB dikhuatiri rugi RM1.5 bilion dalam tiga tahun selepas pemindahan ekuiti kepada syarikat telekomunikasi - CIMB Securities amree13/07/2026 - 14:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 JulaiDigital Nasional Berhad (DNB) dikhuatiri mencatatkan kerugian terkumpul RM1.5 bilion dalam masa tiga tahun selepas pemindahan ekuiti saham kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.

 

Bagaimanapun CIMB Securities berpandangan prospek sektor telekomunikasi negara masih lagi kukuh disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang semakin sihat sejak tempoh beberapa suku lepas.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, Kementerian Kewangan (MoF) dijangka melengkapkan proses pemindahan pegangan saham kepada beberapa syarikat telekomunikasi terlibat seawal suku ketiga 2026.

 

"Justeru, DNB dijangka mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM700 juta pada tahun kewangan 2026 (FY26), diikuti RM500 juta (FY27) dan RM300 juta (FY28)," jelasnya dalam analisis sektor tersebut.

 

Perkembangan ini tambah CIMB Securities, dijangka memberi kesan terhadap pendapatan separuh tahun kepada setiap syarikat yang terbabit mengambil bahagian namun industri itu dijangka kembali pulih.

 

Syarikat telekomuniksi ujarnya, berpeluang menikmati pertumbuhan hasil yang lebih kukuh pada 2026 dan 2027, berikutan pemulihan pasaran secara berterusan serta strategi pengoptimuman harga semasa.

 

sektor telekomunikasi-DagangNews2026

 

Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran pertumbuhan hasil bagi 2026 kepada antara 2% hingga 3%, berbanding jangkaan hanya 1%, selepas prestasi industri pada separuh pertama mengatasi unjuran.

 

"Walaupun tidak terlalu tinggi, ini dijangka menjadi kadar pertumbuhan hasil mudah alih paling kukuh sejak 2013, dengan momentum positif dijangka berterusan hingga 2027," kata CIMB Securities.

 

Ia menganggarkan setiap peningkatan satu mata peratusan dalam pertumbuhan hasil mudah alih mampu meningkatkan keuntungan bersih teras CelcomDigi Berhad dan Maxis Berhad antara 3% hingga 5%.

 

Menurutnya, peningkatan prestasi operasi syarikat itu dijangka mengimbangi kesan pengiktirafan kerugian DNB, serta menyokong prestasi pertumbuhan secara berterusan bagi FY26 hingga FY27.

 

Dalam segmen talian tetap, CIMB Securities menjangka hasil berkembang antara 3% hingga 5% pada separuh kedua 2026, disokong prestasi lebih baik dalam perniagaan borong domestik dan antarabangsa.

 

"Pertumbuhan ini namun dijangka sedikit terjejas berikutan penangguhan 'Asia Link Cable', selain semakan Standard Mandatori Mengenai Harga Akses (MSAP) yang memberi kesan sederhana," jelasnya.

 

Oleh itu, ia mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) kekal pilihan utama dengan penilaian saham dianggap masih menarik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved