Berjaya Property ceburi industri pembuatan tayar RM1.3 bilion usaha sama syarikat kerajaan China, Trusmax

LocalBusiness & Finance
6 Jul 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Berjaya Property ceburi industri pembuatan tayar RM1.3 bilion usaha sama syarikat kerajaan China, Trusmax Image from: Berjaya Property ceburi industri pembuatan tayar RM1.3 bilion usaha sama syarikat kerajaan China, Trusmax amree06/07/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 JulaiBerjaya Property Berhad menceburi industri pembuatan tayar automotif menerusi projek usaha sama (JV) bernilai RM1.3 bilion, dengan sebuah syarikat milik kerajaan China.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, Alam Baiduri Sdn Bhd (ABSB), memeterai perjanjian dengan Trusmax Investment Co, Limited bagi menubuhkan syarikat JV.

 

Entiti baharu tersebut jelasnya, akan terlibat menjalankan perniagaan penyelidikan, pembangunan, pembuatan dan penjualan tayar automotif serta alat ganti yang berkaitan di pasaran Malaysia.

 

"Trusmax memegang 70% kepentingan menerusi sumbangan modal RM569.34 juta, manakala ABSB memiliki baki dengan jumlah pelaburan RM244.01 juta, termasuk hartanah dan tunai," kata Berjaya Property.

 

Sebagai sebahagian daripada pelaburan itu, ABSB menyuntik sebidang tanah pegangan bebas seluas 27.5 hektar di Hulu Selangor, Selangor yang bernilai RM118.31 juta sebagai bentuk sumbangan bukan tunai.

 

Aset tersebut ujar kumpulan berkenaan, merupakan sebahagian daripada kawasan berkeluasan 151 hektar yang diperoleh ABSB pada 2017 dan ketika ini masih hanya digunakan sebagai ladang kelapa sawit.

 

Berjaya Property_DagangNews2026

 

Berjaya Property turut melaksanakan pembinaan, penukaran syarat tanah dan pecah sempadan dijangka RM60 juta, manakala keseluruhan modal bagi pembangunan kilang dianggarkan berjumlah RM1.3 bilion.

 

"Sebanyak 63% atau RM813.35 juta akan dibiayai melalui suntikan ekuiti daripada kedua-dua rakan JV, manakala baki RM491.45 juta pula diperoleh menerusi sumber pembiayaan pinjaman luar," katanya lagi.

 

Trusmax ujarnya, merupakan syarikat berpangkalan di Hong Kong yang dimiliki sepenuhnya oleh Wanli Tire Co Ltd, sebuah perusahaan milik kerajaan China yang mempunyai kepakaran dalam tayar automotif.

 

Tambah Berjaya Property, JV itu membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran teknikal, teknologi dan pengalaman bagi menembusi sektor pembuatan tayar yang ada potensi pertumbuhan jangka panjang.

 

Syarikat menjelaskan cadangan JV itu tidak memberi kesan material kepada modal saham, aset bersih atau keuntungan dalam tempoh terdekat, namun dijangka menyumbang positif kepada hasil masa depan.

 

"Lembaga Pengarah berpandangan cadangan ini demi kepentingan terbaik kumpulan kerana ada peluang mempelbagaikan sumber pendapatan melalui penyertaan sektor pembuatan bernilai tinggi," katanya.

 

Cadangan itu juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa, selain tiada kepentingan pengarah dan pemegang saham utama syarikat dalam transaksi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved