DNeX peroleh lanjutan keenam untuk mengendalikan sistem 'National Single Window' bagi tempoh setahun lagi

04/09/2025 - 10:10
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Sept – Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menerima lanjutan kontrak keenam daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengendalikan serta menyelenggara National Single Window (NSW) bagi Sistem Pemudahcara Perdagangan Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, lanjutan kontrak berkenaan diberikan kepada Dagang Net Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh DNeX yang beroperasi di bawah bahagian teknologi maklumat kumpulan.
“Lanjutan kontrak tersebut akan berkuat kuasa selama setahun bermula 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2026.
“Ia juga berpotensi diperbaharui untuk tempoh setahun lagi, tertakluk kepada semakan prestasi, keperluan semasa serta persetujuan bersama antara pihak berkaitan,” katanya.
Dagang Net merupakan penyedia perkhidmatan e-dagang business-to-business (B2B) dan pemudahcara transaksi digital.
Syarikat itu telah mengendalikan platform NSW sejak mula diperkenalkan, sekali gus memainkan peranan penting dalam pendigitalan ekosistem perdagangan negara.
NSW pula berfungsi sebagai tulang belakang digital perdagangan Malaysia dengan menyepadukan pengguna bersama agensi pengeluar permit, bank serta stesen kastam.
Platform ini bertujuan mempercepatkan dan memperkemas proses perdagangan rentas sempadan.
DNeX mula dianugerahkan konsesi NSW pada September 2009 bagi tempoh lima tahun.
Sejak itu, kontrak tersebut telah beberapa kali dilanjutkan iaitu dua tahun pada 2014, dua tahun pada 2016, dua tahun pada 2017, dua tahun pada 2019, tiga tahun pada 2021 dan terkini satu tahun pada 2025.
Dalam lanjutan pada 2017, DNeX pernah mendedahkan bahawa Dagang Net mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 75 sen bagi setiap kilobait jumlah pertukaran data elektronik (EDI) ke atas pengguna kerajaan.
Pengguna sektor swasta pula dikenakan 80 sen setiap kilobait atau RM5 bagi setiap permohonan berjaya untuk dokumen permit serta sijil asal.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak mengemas kini butiran caj perkhidmatan untuk lanjutan-lanjutan selepas itu. - DagangNews.com
standard

