
SHAH ALAM, 4 JUL: Tekanan mental antara isu yang bakal dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual membuka tirainya Isnin depan.
Menurut Lim Yi Wei, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh usaha menangani isu berkenaan memandangkan kes bunuh diri masih membimbangkan meskipun perkhidmatan kaunseling dan psikologi telah disediakan.
“Kerajaan Selangor menyediakan perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara bergerak bagi menangani bunuh diri, namun jumlah kes masih membimbangkan mengikut laporan media termasuk kejadian tular di media sosial.
“Saya juga berhasrat menyentuh statistik dan tahap dekriminalisasi cubaan bunuh diri di DNS nanti,” katanya kepada Media Selangor.
Tambahnya, isu perubahan iklim khususnya gelombang haba turut akan diketengahkan dalam persidangan berkenaan, memandangkan kesannya lebih dirasai golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.
“Mengenai isu gelombang haba, saya turut meminta EXCO berkaitan kemukakan tahap perkembangan dan pengurusan Kerajaan Negeri terhadap bekalan air mentah dalam menghadapi musim kemarau pada ketika ini,” katanya.
Yi Wei turut menyeru semua ADN supaya menumpukan perbahasan kepada isu rakyat, bukan sekadar agenda parti politik.
“Harapan saya juga pentadbiran dapat membentangkan hala tuju ekonomi negeri menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh kerajaan pada 31 Julai depan,” katanya lagi.
Sidang DNS yang bermula Isnin ini dijangka membahaskan pelbagai isu penting termasuk insiden letupan paip gas milik Petronas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Speaker DNS Lau Weng San memaklumkan tumpuan turut diberikan kepada projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), kejadian banjir serta inisiatif pelaburan berdampak tinggi.
Sidang berlangsung selama dua minggu di Bangunan Annex, Shah Alam, melibatkan sesi pertama dari 7 hingga 11 Julai dan disambung pada 14 hingga 18 Julai.
Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang menerusi laman web selangortv.my dan semua platform rasmi Media Selangor termasuk Facebook, Instagram, X, TikTok dan Telegram serta saluran MYTV.
The post DNS: ADN Kampung Tunku ketengah isu tekanan mental dan gelombang haba appeared first on Selangorkini.

