ADN Seri Kembangan bawa isu pembangunan, TMS2025 ke sidang DNS

4 Jul 2025 • 1:03 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 4 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan akan membawa isu pembangunan setempat di kawasannya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula Isnin depan.

Wong Siew Ki berkata selain itu, cadangan untuk merancakkan pelancongan dan isu infrastruktur turut akan menjadi keutamaan sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

“Pembangunan di Bukit Serdang perlu diberi perhatian terutama di Jalan S/31. Sebanyak 2,700 unit pangsapuri sedang dibina, tetapi fasiliti seperti jalan, longkang perlu dinaik taraf termasuk parkir untuk menampung kapasiti 5,000 unit kenderaan.

“Pihak saya ingin meneroka kerjasama Tourism Selangor untuk melaksanakan program dan naik taraf fasiliti sedia ada sert mempromosikan kawasan tumpuan di Seri Serdang seperti ladang Farm Fresh dan Taman Ekspo Pertanian (MAEPS),” katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai harapan pada sidang DNS, Siew Ki mahu mengetahui rancangan Kerajaan Negeri untuk memperbaiki dan memperkemas pelaksanaan dasar yang sedia ada untuk manfaat rakyat.

“Selain itu, semua program pembangunan yang dah dirancang tetapi tidak sempat dibuat pada separuh tahun pertama harap dapat diselesaikan pada tempoh separuh tahun kedua,” ujarnya.

Persidangan penuh mesyuarat kedua DNS bagi penggal ketiga dijadualkan berlangsung sepuluh hari di Bangunan Annex, bermula 7 Julai hingga 18 Julai.

Speaker Lau Weng San memberitahu insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dan aspek keselamatan zon penampan merupakan antara perkara yang dijangka dibahaskan pada sidang DNS.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi saluran YouTube Selangor TV dan laman rasmi Facebook Media Selangor. Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.