Pengasas Terraform Labs, Do Kwon akhirnya mengaku bersalah di mahkamah ke atas pertuduhan penipuan komoditi, penipuan sekuriti, penipuan wayar dan konspirasi pengubahan wang haram melibatkan pelaburan kripto menerusi syarikat beliau tiga tahun lalu. Skandal menyebabkan pelabur kerugian $40 bilion dalam bentuk mata wang kripto Luna dan TerraUSD (UST).
Kwon mengubah pengakuan kepada bersalah berbanding kali pertama dihadapkan di mahkamah pada Januari lalu. Jika didapati bersalah beliau berhadapan penjara 130 tahun tetapi pihak pendakwaraya menawarkan penjara tidak lebih 12 tahun jika beliau mengubah pengakuan dan mengaku bertanggungjawab ke atas kesalahan dilakukan.

Beliau telah diekstradisi dari Montenegro ke Amerika Syarikat pada 1 Januari selepas ditangkap pihak berkuasa Montenegro pada tahun 2023. Selepas kejatuhan skim pelaburan ini, Do Kwon telah melarikan diri ke Singapura.
Bagi mengheret beliau ke muka pengadilan, pihak berkuasa Korea Selatan telah meminta bantuan Interpol. Beliau ditangkap bersama seorang lagi suspek selepas didapati menggunakan dokumen palsu ketika cuba terbang ke Dubai.
Tahun lalu, Sam Bankman Fried yang terlibat dengan penyelewengan FTX dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun oleh mahkamah di New York. SBF didapati bersalah dalam tujuh pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram dan penipuan atas talian melibatkan kerugian mencecah $8 bilion.


