
PELAKON Serina Redzuawan meluahkan rasa bangga apabila anak keduanya, Isabella Saffiya, 14, terpilih sebagai atlet yang mewakili Malaysia dalam sukan bola sepak.
Isabella yang baru berusia 14 tahun kini menggalas tanggungjawab sebagai pemain tengah skuad Malayan Tigress dengan menyarung jersi nombor 11.
Menerusi perkongsian di Instagram, Serina menitipkan ucapan tahniah buat anaknya selain memohon doa agar Isabella bersama pasukannya diberikan kejayaan dalam saingan yang berlangsung di Indonesia.
Bagi Serina, pencapaian tersebut cukup membanggakan memandangkan minat mendalam Isabella terhadap sukan lasak seakan-akan mengikut jejak langkahnya.
Malah, pelakon itu mendedahkan dirinya juga aktif dalam bidang sukan sejak zaman persekolahan.
“Congratulations my baby princess Isabella Saffiya terpilih jadi atlet wakil Negara Malaysia untuk bola sepak. Doakan Isabella dan pasukannya berjaya di Indonesia. Now ada match Srikandi Merdeka Cup.

“Semalam skuad Malaysia menang 9-0 lawan Arab Saudi.
“Ibu always proud of you Bella. Anak yang berani, aktif, suka sukan lasak macam ibu dia. Saya sejak dari zaman sekolah lagi ratu sukan.
“Tak sangka my daughter pun sama tapi lebih hebat jadi wakil Malaysia! Doa ibu always mengiringi Isabella berjaya jadi juara. Amin,” titipnya.
Dalam pada itu, bapa Serina yang juga cef terkenal, Datuk Cef Wan turut berkongsi rasa bangga apabila cucunya kini menjadi salah seorang pemain skuad bola sepak kebangsaan.
"Cucu perempuan saya, Isabella Saffiya, kini merupakan salah seorang pemain skuad bola sepak kebangsaan kita yang mewakili negara.

"Beberapa hari lalu di Indonesia, pasukan mereka telah menjaringkan sembilan gol menentang Arab Saudi mengikut anak perempuan saya, Serina, yang menghantar semua gambar ini kepada saya, katanya.
"Mengakui dirinya bukan peminat bola sepak dan kurang arif mengenai sukan berkenaan, cef yang pernah dinobatkan sebagai Best Celebrity Chef in the World 2015 itu bagaimanapun tetap menzahirkan kegembiraan atas pencapaian cucunya.
"Memandangkan saya bukan peminat bola sepak, saya amat sedikit mengetahui tentang permainan ini.
"Apabila Rina menghantar mesej kepada saya dan Qamal menghantar semua keratan media ini, barulah saya tahu.
"Tahniah kepada Isabella dan pasukannya atas pencapaian mereka. Sangat berbangga dengan dirinya. Alhamdulilah,” ujarnya.
Sekadar info, skuad Malaysia Tigress yang dibimbing Fairuz Montana Zainal Abidin tmendominasi perlawanan walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Dishanna Pillay dilayangkan kad merah pada minit ke-21.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, terikat dengan Hong Kong.
Bagaimanapun, skuad negara berjaya mara ke separuh akhir menerusi kelebihan perbezaan gol
Sekadar info, Isabella ialah anak daripada perkahwinan pertama Serina. Pelakon Mr. Cinderella dan Potret Mistik itu memiliki seorang lagi anak lelaki bernama Tristan Tareef yang kini berusia 15 tahun.
Buat Isabella, kejayaan tersebut pastinya menjadi satu pencapaian istimewa pada usia muda, apatah lagi apabila berpeluang menyarung jersi negara dan membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa. Syabas!


