MAKKAH - Penantian panjang seorang jemaah haji Malaysia, Zalipah Md Alwi, 73, untuk menjadi tetamu ALLAH akhirnya berakhir apabila beliau berpeluang menunaikan ibadah haji tahun ini selepas sekian lama menyimpan impian tersebut.
Sepanjang berada di Tanah Suci, beliau tidak pernah putus berdoa agar segala urusannya dipermudahkan dan ibadahnya berjalan lancar di Makkah serta Madinah.
Menurut Zalipah, doa untuk menjadi 'tetamu VVIP ALLAH' bukan bermaksud mengharapkan layanan mewah, sebaliknya beliau hanya berharap diberikan kemudahan dan ketenangan sepanjang menunaikan ibadah.
“Alhamdulillah, akhirnya ALLAH makbulkan. Saya cuma doa supaya segala urusan dipermudahkan.
“Kalau kita doa sungguh-sungguh, ALLAH dengar. Saya selalu doa supaya dapat pergi masjid dengan mudah, dapat buat ibadah dengan tenang dan sihat,” katanya ketika ditemui di sini.
**media[3519172]**
Zalipah berkata, walaupun datang bersendirian, beliau tidak pernah berasa keseorangan kerana yakin ALLAH sentiasa mempermudahkan setiap urusannya.
Katanya, layanan baik diterima daripada rakan-rakan jemaah serta kelancaran perjalanan ibadah membuatkan beliau berasa sangat bersyukur.
“Saya datang seorang, tapi saya rasa ALLAH mudahkan urusan saya. Kawan-kawan pun baik dan perjalanan ibadah juga lancar,” katanya.
Zalipah berkata, pengalaman berada di Madinah memberi ketenangan yang sukar digambarkan selepas hasratnya untuk ke Tanah Suci tertangguh beberapa kali.
“Sampai di Madinah rasa seronok dan tenang. Memang niat saya nak datang ke sini.
“Bila dapat tahu terpilih, saya menangis sebab terlalu bersyukur,” katanya.
Menurut beliau, impian untuk menunaikan haji sudah disimpan sejak berusia sekitar 40 tahun, namun belum berkesempatan kerana pelbagai kekangan termasuk menjaga ibunya yang sakit.
Katanya, pemergian ibunya akibat Covid-19 menjadi antara detik paling berat dalam hidup, namun beliau reda dan percaya setiap ketentuan ALLAH mempunyai hikmah tersendiri.
“Saya selalu bergantung kepada ALLAH. Apa-apa pun kita serah kepada Dia. Doa itu penting. Kalau diuji, kita sabar,” katanya.
Dalam pada itu, Zalipah turut berkongsi pengalaman pahit apabila kerugian RM14,000 selepas ditipu individu yang menawarkan urusan umrah secara tidak rasmi.
Menurutnya, individu terbabit pada mulanya berbaik-baik dengan mereka sebelum meminta bayaran secara berperingkat.
“Dia baik dengan kami, bawa makan dan ajak ke rumah. Lama-lama kami rasa pelik sebab duit masuk ke akaun dia sahaja dan agensi pun tidak jelas. Akhirnya kami sedar kena tipu,” katanya.
Susulan pengalaman itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran umrah atau haji yang tidak melalui saluran sah.
“Jangan mudah percaya walaupun orang itu nampak baik. Kalau nak pergi umrah atau haji, ikutlah saluran yang boleh dipercayai,” katanya.
Menurut Zalipah, pengalaman pahit tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menjadi tetamu Allah, sebaliknya menjadikan beliau lebih yakin bahawa setiap rezeki akan tiba pada waktu yang telah ditentukan.




