
IPOH – Doa yang tidak pernah putus agar anak-anak berjaya dan memiliki kehidupan lebih baik menjadi ‘senjata’ buat penerima Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali), Yang Walad, 82, dalam membesarkan 15 anaknya.
Berdasarkan harapan itu, anak kelahiran Kuala Kurau itu gigih mengerjakan sawah bersama arwah suami untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka.
“Saya bukannya orang berada dan kehidupan kami sederhana. Saya dan suami mengerjakan sawah untuk mencari rezeki dan membesarkan anak-anak. Apa yang ada, itulah rezeki kami.
“Cuma, saya nekad dalam hati mahu melihat anak-anak berjaya. Saya tidak mahu mereka melalui kehidupan seperti saya yang setiap hari ke sawah.
“Setiap hari saya berdoa, ‘Ya Allah, berilah rezeki dan jadikanlah anak-anak aku berjaya.’ Itulah niat saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H peringkat negeri di Casuarina@Meru, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, ibu tunggal itu menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berserta wang tunai RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000 dan plak.
Mengulas lanjut, Yang berkata, membesarkan 15 anak dalam kehidupan serba sederhana menuntut kesabaran dan ketabahan yang tinggi, selain pengorbanan yang tidak pernah berakhir.
“Yang penting, kena ada keyakinan diri, sentiasa berdoa kepada Allah dan berusaha untuk melihat anak-anak berjaya. Setiap kali anak-anak pergi ke sekolah, saya akan mendoakan mereka dan sentiasa bertawakal kepada Allah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai anugerah yang diterimanya, Yang berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima anugerah yang disampaikan sendiri oleh Sultan Nazrin.
“Saya betul-betul tak sangka, malah semasa diberitahu akan menerima anugerah ini, saya berasa sangat terharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Doa, usaha besarkan 15 anak hingga berjaya appeared first on Kosmo Digital.





