Tak mampu tahan air mata, M Kavita sebak lihat 5 anak dibesarkan susah payah kini berjaya, raih Anugerah Khas

LocalFamily & Parenting
20 Aug 2026 • 10:51 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Tak mampu tahan air mata, M Kavita sebak lihat 5 anak dibesarkan susah payah kini berjaya, raih Anugerah Khas

PENGORBANAN seorang ibu yang sanggup berpanas dan berhujan selama lebih 12 tahun demi membesarkan lima anak akhirnya mendapat penghargaan yang cukup bermakna.

Kisah M Kavita, seorang pekerja pembersihan yang tidak pernah menjadikan penat sebagai alasan untuk berhenti berjuang demi keluarga, ternyata menyentuh hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar menzahirkan rasa tersentuh dengan kisah wanita berkenaan yang bertahun-tahun bekerja keras mencari rezeki untuk memastikan lima anaknya mendapat kehidupan dan masa depan lebih baik.

Image from: Tak mampu tahan air mata, M Kavita sebak lihat 5 anak dibesarkan susah payah kini berjaya, raih Anugerah Khas

“Alhamdulillah, segala penat lelah dan pengorbanannya terbalas apabila kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Lebih membanggakan, pengorbanan Kavita turut dihargai menerusi Anugerah Khas dalam Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan SWCorp, pada Selasa.

Majlis bertemakan “Wira Kebersihan, Nadi Kelestarian Negara” itu dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama tiga syarikat konsesi iaitu Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan E-Idaman Sdn Bhd.

Kavita yang berkhidmat dengan SWM Environment merupakan antara tiga penerima Sumbangan Keprihatinan pada majlis berkenaan.

Pengiktirafan itu bukan sekadar sebuah anugerah, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap seorang ibu yang menghabiskan sebahagian besar hidup bekerja keras demi keluarga.

Kisah Kavita sebelum ini tular selepas salah seorang anaknya, L Bharathi, 34, berkongsi video memaparkan kejutan istimewa sempena ulang tahun kelahiran ibunya yang ke-50.

Image from: Tak mampu tahan air mata, M Kavita sebak lihat 5 anak dibesarkan susah payah kini berjaya, raih Anugerah Khas

Dalam video tersebut, Kavita yang sedang menjalankan tugas sebagai pekerja pembersihan dilihat tidak dapat menahan sebak apabila tiba-tiba didatangi kelima-lima anaknya.

Lebih menyentuh hati, cahaya mata tersayang hadir dengan memakai seragam kerja masing-masing bagi meraikan insan yang selama ini menjadi tulang belakang keluarga.

Ketika itu, Kavita sedang bertugas di sebuah lokasi di Seremban, Negeri Sembilan.

Berkongsi kisah itu, Bharathi berkata, idea melakukan kejutan istimewa itu dicetuskan adik ketiganya, Santhia, 29, selepas mereka berbincang mengenai hadiah paling sesuai sempena ulang tahun kelahiran ibu.

"Saya bersama adik-beradik lain (Hema, Santhia, Yumal Raj dan Priya Darsni) sedar tiada hadiah yang mampu membalas segala pengorbanan Amma.

"Jadi kami mahu memberikan sesuatu yang nilainya bukan pada harga, tetapi pada kegembiraan yang boleh dirasainya.

"Kemudian, kami teringat Amma pernah berkongsi impian melihat adik bongsu datang mengejutkannya ketika bekerja dengan memakai uniform juruterbang.

"Syukur, impian kecil itu akhirnya dapat direalisasikan pada hari lahirnya yang ke-50," katanya kepada portal berita tempatan.

Kakak sulung kepada lima adik-beradik itu berkata mereka memilih meraikan hari lahir ibu kerana mahu menghargai pengorbanan wanita berkenaan yang sanggup bekerja keras selama lebih 12 tahun sebagai tukang sapu untuk membantu bapa, yang bekerja sebagai tukang cat demi memastikan setiap anak mendapat pendidikan dan kehidupan yang lebih baik.

"Sejak kecil, kami menyaksikan sendiri kesusahan Amma yang sanggup bekerja di bawah panas terik dan hujan demi menyara keluarga tanpa pernah mengeluh.

"Pengorbanan Amma itu menjadi sumber inspirasi kepada kami untuk belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras dan mengubah kehidupan keluarga," katanya.

Ditanya mengapa ibunya masih memilih bekerja, Bharathi berkata, keputusan itu dibuat atas kehendak ibunya sendiri yang tidak mahu bergantung kepada anak-anak untuk meneruskan kehidupan.

"Amma memang seorang yang sangat berdikari dan sudah terbiasa bekerja, selagi masih sihat dan mampu, dia akan terus bekerja kerana enggan membebankan anak-anak," katanya.

"Saya bersyukur kerana segala penat lelah dan pengorbanan sepanjang membesarkan anak-anak terubat pada hari berkenaan. Bagi saya, ia adalah antara kenangan paling berharga dalam hidup," katanya.

Kisah M Kavita membuktikan kasih seorang ibu tidak pernah berkira soal penat dan lelah, apatah lagi ketika berjuang memastikan anak-anak mendapat masa depan lebih baik.

Hari ini, melihat kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing menjadi bukti setiap keringat yang dicurahkan tahun bukanlah sia-sia, malah menjadi kenangan paling manis buat seorang ibu yang tidak pernah mengenal erti mengalah.

Sumber: Instagram, Astro Awani, Harian Metro

 

Hati tersentuh dengar luahan Liza Hanim tentang didikan anak, terutamanya Marsya. Zaman ledakan media sosial ini, Liza tegaskan pentingnya keluarga jadi ruang selamat untuk anak berteduh.

Tapi bukan manjakan anak! Katanya Marsya perlu berjiwa kental (thick skin) menghadapi realiti dunia luar.

"Netizen hanya nampak apa mereka nak nampak. Just do your best, buktikan pada mereka yang you can do it. Mama & ayah always be there for you."

#Marsyaqistina #lizahanim #parenting #sinarplus #lifestylesinarharian">

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved