
KUALA LUMPUR - Seorang doktor, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, antara lima mangsa yang maut dalam nahas helikopter Flying Doctor Service di Long Lellang, Sarawak, hari ini, baru kembali ke negeri itu dua hari lalu selepas menghabiskan seminggu bersama keluarganya di Kelantan.
Bapanya, Kamaruddin Salleh, 69, berkata keluarga mereka amat terkesan selepas menerima berita mengenai nahas yang meragut nyawa anaknya itu.
“Anak saya baru dua hari kembali ke Sarawak selepas menghabiskan seminggu di sini. Hari ini, kami menerima berita helikopter yang dinaikinya terhempas dan dia telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Ainul, anak keempat daripada lima beradik, telah berkhidmat sebagai doktor tetap kira-kira dua tahun dan bertugas di sebuah hospital di Miri.
Kamaruddin berkata, dia pada awalnya menerima panggilan daripada menantunya yang memaklumkan helikopter dinaiki Ainul terhempas, namun keadaan anaknya ketika itu masih belum diketahui.
“Pada mulanya, saya menerima panggilan daripada besan memaklumkan helikopter dinaiki anak saya terhempas dan keadaannya masih belum diketahui.
“Kemudian, saya menerima panggilan kedua yang memaklumkan anak saya telah meninggal dunia.
“Isteri saya, Rogayah Mohd Noor, 69, sangat terkejut menerima berita itu dan kami tidak tahu hendak berkata apa,” katanya.
Menurutnya, dia dan isterinya belum dapat berangkat ke Sarawak kerana isterinya kurang sihat dan mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Katanya, adik-beradik Ainul bersama keluarga mentua akan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak pagi esok.
Menggambarkan Ainul sebagai seorang yang pendiam dan baik hati, Kamaruddin berkata anaknya sentiasa bersedia membantu keluarga.
“Sepanjang seminggu berada di kampung, Ainul beberapa kali membawa kami keluar,” katanya.
Kakak ipar Ainul, Nureez Mohd Pauzi, turut mengesahkan kematian mangsa menerusi hantaran di Facebook selepas kejadian.
“Helikopter Kementerian Kesihatan yang membawa kakak ipar saya terhempas di Miri. Saya sedang bersiap untuk ke lapangan terbang,” tulisnya.
Beliau kemudian memuat naik video ketika menaiki penerbangan ke Sarawak.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan empat anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang juruterbang berada di dalam helikopter berkenaan.
Petugas kesihatan itu terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas di bawah program Flying Doctor Service.
Kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan maut.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.
“Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.
Maklumat awal daripada Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Miri mendapati helikopter BO-105 berdaftar 9M-LLF berlepas dari Miri sebelum terhempas berhampiran hujung landasan Lapangan Terbang STOL Long Lellang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan ke lokasi nahas yang terletak di kawasan pedalaman, kira-kira 10 jam perjalanan darat dari Marudi.
“Perkhidmatan udara menggunakan helikopter belum dapat digunakan ketika ini berikutan keadaan jerebu dan CAAM tidak membenarkan penerbangan dari pangkalan udara polis di Kuching.
“Operasi mencari dan menyelamat ketika ini bergantung kepada bantuan penduduk kampung, anggota RELA dan polis bantuan STOLport Long Lellang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata helikopter berkenaan milik sebuah syarikat swasta dan disewa bagi menjalankan perkhidmatan Flying Doctor Service ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang.
Long Lellang STOLport yang terletak kira-kira 310 kilometer dari Miri berfungsi sebagai penghubung kepada komuniti pedalaman di kawasan berkenaan, termasuk penempatan masyarakat Kelabit dan Penan.
Lapangan terbang STOL itu terletak bersebelahan Kampung Long Lellang.
Sementara itu, satu video yang tular di media sosial dipercayai memaparkan sebuah helikopter dengan enjinnya terbakar sebelum terhempas. - Getaran, 9 September 2026





