
PETALING JAYA – Seorang doktor gigi didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian serta membenarkannya menjalankan rawatan di klinik miliknya, dua tahun lalu.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Dr Tong Soo Huan, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS).
Mahkamah memerintahkan hukuman denda RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan OKS dipenjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Dr Tong didakwa menggaji individu yang bukan pengamal pergigian berdaftar mengikut Akta Pergigian 2018 di sebuah klinik pergigian di Jalan SS21/1, di sini, pada pukul 12.50 tengah hari, 6 Mei 2024. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 68 Akta Pergigian 2018.
Wanita itu turut didakwa membenarkan individu tidak berdaftar mengikut akta sama menjalankan amalan pergigian di klinik miliknya pada masa dan tarikh sama. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 69(a) Akta Pergigian 2018 yang membawa hukuman sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Haznita Zainal Abidin manakala OKS diwakili peguam, Rejinder Singh.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjalankan pemeriksaan di klinik milik Dr Tong dan mendapati seorang kakitangan wanita sedang melakukan imbasan gigi seorang pesakit menggunakan peralatan pengimbas gigi intraoral iTero Element pada pada 6 Mei 2024.
Pemeriksaan mendapati kakitangan berkenaan tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) sebagai pengamal pergigian, manakala Dr Tong gagal mengemukakan sijil pengamalan tahunan kakitangan itu apabila diminta pegawai penguat kuasa.
Siasatan mendapati Dr Tong menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dan membenarkannya menjalankan amalan pergigian di klinik berkenaan, sekali gus melanggar Seksyen 68 dan Seksyen 69(a) Akta Pergigian 2018.
The post Doktor gigi didenda RM70,000 appeared first on Kosmo Online.





