Doktor Jelaskan Kesan Obesiti Di Kalangan Kanak-kanak Kepada Negara [Video]

LocalHealth & Fitness
14 Jul 2025 • 2:45 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kanak-kanak yang sedang dalam fasa membesar sememangnya sibuk meneroka dunia mereka dan ingin mencuba pelbagai perkara termasuklah dari segi pemakanan.

Oleh itu sebagai ibu bapa kita perlulah sentiasa memberikan tunjuk ajar dan menjaga kesihatan termasuklah kesihatan fizikal mereka agar terhindar dari sebarang penyakit yang tak diingini.

Umum mengetahui kanak-kanak yang sedang membesar sentiasa digalakkan untuk bergerak aktif seperti berlari, melompat, memanjat dan sebagainya untuk menguatkan kemahiran motor mereka.

Doktor jelaskan kesan kepada kesihatan kanak-kanak jika mempunyai masalah obesiti

Baru-baru ini, pengamal perubatan yang sering berkongsi pelbagai informasi kesihatan di media sosial iaitu Dr Wanie Azeera telah menjelaskan mengenai kesan buruk yang berlaku sekiranya kanak-kanak menjadi obesiti.

Menerusi video yang dikongsikan Dr Wanie di TikTok, dia menjelaskan statistik pada tahun 2019 ada memaklumkan sebanyak 29.8% kanak-kanak di bawah umur lima tahun berdepan dengan masalah obesiti di dalam Malaysia.

Jelasnya kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan lebih berkemungkinan tinggi untuk menjadi obesiti apabila sudah besar.

“Isu obesiti kanak-kanak ini berada di bawah dasar keselamatan negara sebabnya kesannya meluas lepas tu mempunyai jangka masa panjang. Jadi ia beri kesan kepada rakyat, ekonomi dan pembangunan negara.

“Ada orang cakap jangan sibuklah, tahu lah mak ayah dia kan nak jaga macam mana. Tapi kita kena sibuk sebab semua benda tu boleh beri kesan pada negara kita.

“Benda-benda ini adalah salah satu kriteria negara membangun dan kalaulah negara kita tak sihat (rakyat), negara kita tidak dikira sebagai negara membangun pun. Mungkin negara kita akan dikira sebagai negara yang mundur sebab rakyat tidak sihat.

“Nombor satu obesiti dalam kalangan kanak-kanak ini adalah ancaman kepada kesihatan awam. Bunyi serius kan? Memang serius pun,” ujar Dr Wanie.

Berpotensi akan ada penyakit di usia yang muda

Kata Dr Wanie kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti berpotensi untuk mendapat penyakit di usia yang muda seperti:

  • Kencing manis
  • Darah tinggi
  • Masalah jantung
  • Kanser dan sebagainya

Menurutnya lagi kos penjagaan kesihatan awam akan meningkat dan bakal menjadi beban kepada sistem kesihatan negara.

Bukan hanya itu, jangka masa rawatan untuk penyakit terbabit juga bukan dalam tempoh pendek sebaliknya sepanjang hayat.

Mempunyai masalah produktiviti yang rendah dan akan menyukarkan mereka apabila sudah dewasa

Selain itu, Dr Wanie juga mengatakan kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti juga akan berdepan dengan masalah produktiviti yang rendah apabila sudah dewasa serta menyukarkan mereka mendapat pekerjaan.

Perkara itu disebabkan masalah kesihatan yang akan menyebabkan mereka kerap tidak hadir bekerja dan sebagainya.

Selain itu, masalah obesiti di kalangan kanak-kanak juga akan menjejaskan kognitif dan perkembangan sosial. Oleh itu, ia akan menyebabkan generasi yang akan datang menjadi generasi tidak berkualiti khususnya dari segi kesihatan.

Tambahnya lagi, masalah obesiti itu akan membuatkan kadar pembelajaran lambat dan kekurangan aktiviti fizikal.

Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak juga beri kesan pada negara

Ulasnya lagi masalah obesiti ini bukan sahaja menjejaskan masa depan kanak-kanak itu sahaja bahkan turut akan membabitkan negara.

Dr Wanie mengatakan sekiranya ada sejarah keluarga, obesiti perkara itu boleh diubah namun ia bermula daripada ibu ayah untuk tidak membiarkan mereka mewarisi kegemukan keluarga daripada berlaku.

Walau bagaimanapun, katanya sekiranya semua perkara seperti pemakanan dan aktiviti sudah dijaga namun anak masih mempunyai masalah berat badan berlebihan pemeriksaan lain boleh dilakukan.

“Kita kena consider penyakit lainlah, penyakit-penyakit dalaman. Contohnya penyakit melibatkan hormon atau kelenjar hormon. Perkara ini dalam analisa pengambilan darah yang mudah itu tak akan nampak apa-apa pun.

“Nampak normal sahaja, jadi kalau kita rasa anak kita itu aneh. Kenapa badan dia macam dipam-pam jadi jumpa doktor nanti doktor akan rujuk kepada pakar sepatutnya serta pakar pemakanan,” jelasnya.

Dr Wanie juga mengingatkan ibu ayah perlu sentiasa ingat yang kanak-kanak kecil yang sedang membesar perlu sentiasa bergerak aktif.

@wanieazeera

Obesity dalam kalangan kanak2 jadi salah satu ancaman pada kesihatan negara. Tugas kita sebagai ibu bapa untuk ubah semua ni. Bukan masalah individu tp ni dah jadi masalah ancaman negara.

♬ original sound – WanieAzeera – WanieAzeera

Faktor risiko dan kesan jangka panjang yang boleh berlaku kepada kanak-kanak mempunyai masalah obesiti

Di dalam laman sesawang Hello Doktor turut menyenaraikan faktor risiko yang boleh berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti seperti:

  • Diet – Pengambilan makanan yang tinggi kalori, mengambil makanan yang manis contoh gula-gula dan minuman manis juga menyumbang kepada pertambahan berat badan.
  • Genetik – Obesiti juga dipengaruhi oleh genetik. Sekiranya ibu atau ayah mempunyai masalah obesiti anak-anak juga mempunyai kemungkinan untuk mengalaminya.
  • Pemakanan tak sihat – Pengambilan makan yang tidak berkhasiat seperti sken atau makanan penuh kalori pada waktu yang tak tetap.
  • Kurang bersenam – kanak-kanak yang tidak aktif dan kurang aktiviti fizikal seperti bersenam juga boleh mengalami masalah pertambahan berat badan kerana tak membakar kalori seperti anak kecil normal yang lain.
  • Psikologi – Mempunyai masalah peribadi, ibu bapa mahupun keluarga juga boleh menyebabkan si kecil mempunyai masalah obesiti. Ini kerana terdapat segelintir anak kecil yang melupakan masalah mereka dengan makanan.

Namun perkara seperti ini akan memberikan kesan pada jangan masa panjang di mana mereka boleh berdepan dengan masalah penyakit kronik seperti:

  • Kolestrol tinggi
  • Penyakit jantung – Kanak-kanak yang ada masalah obesiti mudah diserang dislipedimia serta hipertensi (darah tinggi)
  • Diabetes
  • Masalah tulang seperti menghidap komplikasi anatomi
  • Masalah pernafasan seperti asma atau apnea tidur
  • Masalah kulit iaitu infeksi fungus, jerawat dan ruam
  • Berdepan masalah diskrimasi sosial yang boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan dan menjejaskan prestasi akademik dan keupayaan bersosial

Sebagai ibu bapa, anda boleh mengingatkan mereka betapa pentingnya menjaga kesihatan diri dan menjelaskan apakah kesan negatif jika mengabaikannya.

Cuba untuk bersikap terbuka agar anak lebih tenang dan mudah untuk melakukan perubahan baik seperti menukar diet lebih sihat, senaman bagi membantu mereka mengawal berat badan.

Sebagai info, seramai 11 juta golongan dewasa di Malaysia mengalami masalah obesiti lebih teruk lagi negara kita menduduki tangga kedua obesiti tertinggi di asia tenggara pada tahun 2024.

Source: