Doktor Malaysia Maut Selepas Terjatuh Ketika Mendaki Gunung Di Itali

LocalTravel
24 Jul 2025 • 10:05 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang doktor asal Malaysia yang dilaporkan hilang semasa mendaki di pergunungan Dolomites, Itali disahkan meninggal dunia setelah mayatnya ditemukan akibat terjatuh dari tebing.

Doktor maut daki gunung Itali

image is not available

Menurut laporan berita Itali, pendaki malang itu dikenali sebagai Dr Khaw Bee Ling, 60, merupakan seorang pakar perubatan dari Metro Specialist Hospital di Sungai Petani, Kedah yang telah dilaporkan hilang pada 18 Julai lalu sewaktu mendaki sebuah gunung yang terletak di antara Ampezzo dan Braies Dolomites.

Dikatakan, Dr Khaw memulakan misi pendakian itu bersama seorang sahabatnya sebelum berpisah haluan dimana mangsa meneruskan pendakian ke puncak secara sendirian.

Namun begitu, Dr Khaw sempat mengirim mesej memaklumkan bahawa dirinya telah sesat sebelum terputus hubungan tanpa menerima sebarang komunikasi lagi.

Susulan itu, rakannya telah meminta bantuan dengan menghubungi pihak berkuasa dan operasi pencarian besar-besaran dilancarkan bagi mengesan doktor malang itu.

image is not available

Mayat Dr Khaw ditemukan oleh sebuah helikopter di dasar tebing, tersepit di celah batu pada keesokan harinya iaitu pada 19 Julai.

Misi pencarian itu telah mengerahkan satu pasukan penyelamat menggunakan helikopter, dron dilengkapi kamera terma, anjing pengesan dan beberapa pasukan penyelamat gunung.

Menurut pihak berkuasa, mangsa tersasar dari laluan yang ditandakan di sebelah Belluno gunung itu dan secara tidak sengaja tergelincir di kawasan batu yang curam dan licin, lalu terjatuh hampir 100 meter.

Difahamkan, mayat Dr Khaw dipindahkan ke rumah mayat di Cortina d’Ampezzo dan segala prosedur terhadap mayat akan diuruskan oleh pihak berkuasa Itali.