'Doktor pelatih jangan pendam perasaan' - Dr Rohana

LocalHealth & Fitness
16 Aug 2026 • 3:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Doktor pelatih jangan pendam perasaan' - Dr Rohana
Dr Rohana (tiga dari kanan) merasmikan Program USM House Officer Preparatory Course 2026 di Auditorium Kompleks Pentadbiran HPUSM di Kota Bharu. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Pegawai perubatan siswazah (houseman) diingatkan supaya tidak memendam masalah atau tekanan secara seorang diri ketika melangkah ke alam pekerjaan, sebaliknya mendapatkan bantuan menerusi saluran sokongan yang disediakan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Rohana Daud berkata, persediaan mental dan fizikal amat penting kerana kerjaya sebagai doktor sememangnya mencabar.

Menurut beliau, golongan doktor pelatih perlu berani berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan sekiranya berdepan sebarang kesukaran sepanjang menjalani latihan.

"Bila nak jadi seorang doktor, memang kena bersedia secara mental dan fizikal. Sebab jadi doktor ini memang 'tough'.

"Tetapi bila ada masalah, kena beritahu orang dan kena minta tolong. Jangan simpan seorang diri," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Terdahulu beliau merasmikan Program Universiti Sains Malaysia (USM) House Officer Preparatory Course 2026 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di sini.

Hadir sama, Pengarah HPUSM, Datuk Dr Ab Rahman Izani Ghani@Ab Ghani.

Program itu merupakan inisiatif HPUSM sebagai hospital pengajar universiti bagi memberikan gambaran sebenar serta maklumat tepat kepada bakal graduan sebelum mereka memasuki fasa latihan housemanship.

Ia julung kalinya dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Persatuan Perubatan Malaysia (PADU).

Kerjasama itu penting bagi memastikan bakal graduan mendapat maklumat tepat secara terus daripada pihak yang berpengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Dr Rohana memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyediakan kumpulan sokongan Kesihatan Mental Bagi Pegawai Perubatan Siswazah (HEARTS) khusus untuk membantu pegawai perubatan siswazah yang berdepan masalah atau memerlukan sokongan.

Ujarnya, kumpulan itu diwujudkan di setiap hospital dengan penglibatan doktor pakar dan kaunselor bagi memastikan houseman mempunyai saluran untuk mendapatkan nasihat serta bantuan.

"Setiap hospital ada jawatankuasa khas untuk HEARTS. Ada ketua, pakar-pakar yang terlibat dan kaunselor.

"Jadi apa-apa masalah, houseman boleh hubungi kumpulan ini untuk mendapatkan nasihat dan sokongan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved