DOSM: Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada September, eksport melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 11:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DOSM: Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada September, eksport melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion Image from: DOSM: Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada September, eksport melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion sarah19/10/2026 - 11:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt - Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada September 2026 berbanding 1.9% pada bulan sebelumnya, manakala eksport negara melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion, didorong terutamanya oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E).

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, mata Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.6 daripada 135.2 pada September 2025. Ini didorong oleh kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain yang meningkat perlahan kepada 1.4% berbanding 2.1% pada Ogos 2026.

 

Menurut DOSM, kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan menyederhana kepada 2.8% berbanding 3.2% pada Ogos. Kumpulan Maklumat dan Komunikasi serta Makanan dan Minuman masing-masing turut meningkat lebih perlahan kepada 1.8% berbanding 2.6% dan 1.9% pada bulan sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kumpulan Pengangkutan meningkat 2.5% berbanding 2% pada Ogos, didorong oleh subkumpulan Pengurusan Peralatan Pengangkutan Persendirian yang mencatatkan kenaikan 2.7%. Purata harga pasaran RON95 meningkat kepada RM4.16 seliter daripada RM3.75, diesel kepada RM5.05 daripada RM4.60 dan RON97 kepada RM4.64 daripada RM4.28 seliter. Harga subsidi RON95 dan diesel masing-masing ialah RM1.99 dan RM2.10 seliter.

 

Bagi kumpulan Makanan dan Minuman, subkumpulan Makanan di Rumah menyederhana kepada 1.2% berbanding 1.4% pada Ogos, manakala Makanan di Luar Rumah meningkat 2.6% berbanding 2.5%. DOSM turut melaporkan lapan negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional, dengan Negeri Sembilan dan Labuan merekodkan kadar tertinggi, masing-masing 2.4%.

 

ptp

 

Eksport E&E pacu pertumbuhan perdagangan

Dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia bagi September 2026, DOSM berkata jumlah perdagangan meningkat 53.7% kepada RM396.5 bilion berbanding RM258.1 bilion pada September 2025, disokong peningkatan eksport sebanyak 54.5% kepada RM215.1 bilion dan import sebanyak 52.7% kepada RM181.4 bilion.

 

Prestasi eksport disokong pertumbuhan dua digit dalam eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik, yang merangkumi 75.3% daripada jumlah eksport, meningkat 54.7% kepada RM162 bilion, manakala eksport semula bertambah 53.7% kepada RM53.1 bilion.

 

Mengikut kumpulan barangan, eksport E&E meningkat 69.2% kepada RM110.23 bilion, menyumbang 51.2% daripada keseluruhan eksport negara. Ini diikuti keluaran perkilangan lain yang meningkat kepada RM20.28 bilion dan keluaran petroleum kepada RM12.17 bilion.

 

Peningkatan eksport terbesar mengikut pasaran dicatatkan ke Amerika Syarikat sebanyak RM18 bilion, diikuti Taiwan (RM13.7 bilion), Singapura (RM11.9 bilion), Hong Kong (RM6.9 bilion), Kesatuan Eropah (RM4.2 bilion) dan China (RM3.7 bilion). Lebihan dagangan berkembang 64.9% kepada RM33.7 bilion, menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-77 berturut-turut sejak Mei 2020.

 

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 30.1% kepada RM2.9 trilion berbanding RM2.2 trilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong pertumbuhan eksport sebanyak 34% dan import sebanyak 25.7%. Lebihan dagangan pula meningkat 115.7% kepada RM232.4 bilion, manakala inflasi Malaysia bagi suku ketiga 2026 mencatatkan 1.9%, sama seperti suku sebelumnya.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved