DOSM: Inflasi reda kepada 1.8% pada September, eksport melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 11:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DOSM: Inflasi reda kepada 1.8% pada September, eksport melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion Image from: DOSM: Inflasi reda kepada 1.8% pada September, eksport melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion sarah19/10/2026 - 11:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt - Inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.8% pada September 2026 berbanding 1.9% pada Ogos, ketika prestasi eksport negara melonjak 54.5% kepada RM215.1 bilion, mencerminkan pertumbuhan perdagangan yang kukuh meskipun tekanan harga masih dirasai dalam sektor pengangkutan dan makanan di luar rumah.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, penyederhanaan inflasi itu didorong terutamanya oleh kenaikan lebih perlahan kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain kepada 1.4% berbanding 2.1% pada Ogos, manakala inflasi makanan dan minuman turut menyederhana kepada 1.8% daripada 1.9%.

 

Bagaimanapun, tekanan harga dalam kumpulan pengangkutan meningkat kepada 2.5% berbanding 2% pada bulan sebelumnya, seiring kenaikan purata harga pasaran RON95 kepada RM4.16 seliter daripada RM3.75, diesel kepada RM5.05 daripada RM4.60 dan RON97 kepada RM4.64 daripada RM4.28. Harga subsidi RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM1.99 dan RM2.10 seliter.

 

Bagi makanan dan minuman, inflasi makanan di rumah menyederhana kepada 1.2% daripada 1.4%, namun makanan di luar rumah meningkat 2.6% berbanding 2.5% pada Ogos. Sementara itu, Negeri Sembilan dan Labuan mencatatkan kadar inflasi tertinggi pada 2.4%, diikuti Johor, Kedah dan Putrajaya masing-masing 2.2%.

 

eks

 

Eksport elektrik dan elektronik pacu perdagangan negara

Dalam perkembangan berasingan, DOSM melaporkan jumlah perdagangan Malaysia melonjak 53.7% kepada RM396.5 bilion pada September berbanding RM258.1 bilion setahun sebelumnya, disokong peningkatan eksport sebanyak 54.5% kepada RM215.1 bilion dan import 52.7% kepada RM181.4 bilion.

 

Lonjakan eksport didorong terutamanya oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat 69.2% kepada RM110.23 bilion, merangkumi 51.2% daripada keseluruhan eksport negara. Pertambahan nilai eksport E&E sebanyak RM45.1 bilion turut menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan eksport pada bulan berkenaan.

 

Mengikut pasaran, peningkatan eksport terbesar dicatatkan ke Amerika Syarikat sebanyak RM18 bilion, diikuti Taiwan (RM13.7 bilion), Singapura (RM11.9 bilion), Hong Kong (RM6.9 bilion), Kesatuan Eropah (RM4.2 bilion) dan China (RM3.7 bilion). Lebihan dagangan Malaysia pula berkembang 64.9% kepada RM33.7 bilion, sekali gus menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-77 berturut-turut sejak Mei 2020.

 

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, jumlah perdagangan negara meningkat 30.1% kepada RM2.9 trilion berbanding RM2.2 trilion dalam tempoh sama tahun lalu, dengan eksport berkembang 34% dan import meningkat 25.7%. Lebihan dagangan bagi sembilan bulan pertama tahun ini turut melonjak 115.7% kepada RM232.4 bilion, manakala inflasi keseluruhan bagi suku ketiga kekal pada 1.9%, sama seperti suku sebelumnya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved