sarah19/10/2026 - 16:56 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Keperluan tenaga ASEAN dijangka melonjak lebih empat kali ganda menjelang 2060, didorong pertumbuhan industri pengangkutan dan pusat data, sekali gus meletakkan rantau ini di bawah tekanan untuk mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu serta menyediakan pelaburan sehingga AS$405 bilion (RM1.65 trilion) setahun bagi menjamin keselamatan bekalan tenaga.
Menurut Pusat Tenaga ASEAN (ACE), unjuran dalamb Laporan Tinjauan Tenaga ASEAN Kesembilan (AEO9) menunjukkan penggunaan tenaga akhir rantau ini berpotensi meningkat daripada 485 juta tan setara minyak (Mtoe) pada 2025 kepada 2,047 Mtoe menjelang 2060 sekiranya dasar dan corak penggunaan tenaga semasa diteruskan.
ACE berkata, peningkatan itu turut dipacu pembangunan bandar, penggunaan penghawa dingin isi rumah dan perkhidmatan digital, ketika kebergantungan ASEAN terhadap import minyak semakin meningkat dan menjadikan rantau ini lebih terdedah kepada gangguan bekalan serta kenaikan kos tenaga global.
Bagaimanapun, laporan yang dilancarkan pada 8 Oktober lalu itu menunjukkan penggunaan tenaga boleh dikurangkan kepada 1,482 Mtoe melalui pelaksanaan sasaran negara anggota, atau serendah 1,073 Mtoe menerusi Senario Peralihan Terselaras ASEAN (ACTS) yang menekankan kecekapan tenaga, elektrifikasi dan kerjasama serantau.
Pengarah Eksekutif ACE, Datuk Ir. Razib Dawood berkata, keselamatan tenaga ASEAN pada masa depan bukan hanya bergantung kepada jumlah tenaga yang mampu dihasilkan atau diimport, tetapi juga kecekapan penggunaannya serta tahap kesalinghubungan sistem tenaga antara negara anggota.
“Keselamatan tenaga ASEAN akan ditentukan oleh sejauh mana kita menggunakan tenaga secara cekap dan menghubungkan sistem tenaga, sama pentingnya dengan jumlah tenaga yang mampu kita hasilkan atau import.
“AEO9 menjelaskan bahawa penyelarasan serantau kini amat penting untuk memastikan tenaga kekal mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan ketika permintaan terus meningkat,” katanya dalam kenyataan.

ASEAN perlu tambah kapasiti tenaga boleh baharu 26GW setahun
ACE berkata, bagi mencapai sasaran tenaga boleh baharu merangkumi 45% daripada keseluruhan kapasiti penjanaan elektrik terpasang menjelang 2030, ASEAN perlu menambah kira-kira 26 gigawatt (GW) kapasiti baharu setiap tahun, hampir empat kali ganda kadar penambahan tahunan sebelum ini.
Dalam senario ACTS, sumbangan elektrik kepada penggunaan tenaga akhir dijangka meningkat kepada 57.2% menjelang 2060 berbanding hanya 22.6% dalam senario asas, sekali gus memerlukan pengukuhan grid domestik, sistem penyimpanan tenaga dan perdagangan elektrik rentas sempadan melalui Grid Kuasa ASEAN.
Laporan itu menganggarkan peralihan tenaga terselaras memerlukan pelaburan terkumpul sekitar AS$14.1 trilion (RM57.53 trilion) sehingga 2060, bersamaan purata AS$405 bilion (RM1.65 trilion) setahun, meliputi pembangunan penjanaan elektrik, infrastruktur grid, elektrifikasi industri dan pengangkutan serta peningkatan kecekapan tenaga.
Razib berkata, kejayaan peralihan tenaga ASEAN bergantung kepada pelaksanaan projek yang berdaya maju dari segi pembiayaan, pembangunan grid lebih kukuh dan peraturan pasaran yang mampu meningkatkan keyakinan pelabur untuk menyalurkan modal pada skala besar. - DagangNews.com






