DOSM lancar GEOHUB, portal data pintar gabungkan statistik rasmi

LocalTechnology
5 Dec 2025 • 4:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DOSM lancar GEOHUB, portal data pintar gabungkan statistik rasmi
image is not available
haziq05/12/2025 - 16:14 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Dis – Peniaga, pelabur dan pembuat dasar kini tidak lagi perlu bergantung pada andaian apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan DOSM GEOHUB, portal data pintar yang menggabungkan statistik rasmi negara dengan maklumat geospatial untuk menyokong keputusan yang lebih tepat dan bersasar.

 

Platform strategik yang dilancarkan hari ini menyediakan akses kepada data geospatial bersepadu untuk perancangan pembangunan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Ini membantu agensi kerajaan dan sektor industri merangka intervensi pembangunan, menyelaras bantuan dan menyediakan kemudahan awam berdasarkan lokasi sebenar.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata DOSM GEOHUB membolehkan pembuatan keputusan dilaksanakan melalui analisis lokasi yang lebih terperinci dan spesifik.

 

“Hab data ini menghimpunkan visualisasi spatial daripada statistik sosial, ekonomi dan alam sekitar untuk membolehkan analisis keadaan semasa negara dibuat dengan lebih menyeluruh.

 

“Menerusi portal ini, pengguna termasuk industri dan orang awam boleh meneroka maklumat meliputi populasi, jantina, kumpulan umur, ekonomi dan unjuran penduduk di peringkat Malaysia, negeri serta daerah melalui peta tematik interaktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Platform itu mengandungi lebih 60 lapisan data, variabel dan indikator yang disusun menerusi beberapa produk utama termasuk Pemetaan Web, Aplikasi Web, StoryMap dan Dashboard bagi memudahkan kefahaman terhadap naratif pembangunan negara.

 

Pelaksanaan DOSM GEOHUB juga sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi penekanan kepada pendigitalan negara berteraskan rakyat serta menggalakkan penggunaan meluas data geospatial dalam perancangan ekonomi dan sosial.

 

Menurut DOSM, pembangunan sistem tersebut dilaksanakan sepenuhnya menggunakan kepakaran dalaman jabatan, mencerminkan keupayaan teknikal tempatan dalam membangunkan infrastruktur data strategik tanpa pergantungan mutlak kepada vendor luar.

 

Pelancaran hab data ini turut mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa apabila negara buat julung kalinya menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara.

 

Pencapaian itu merupakan lonjakan besar berbanding kedudukan ke-67 dalam ODIN 2022/23, sekali gus memperlihatkan ekosistem data negara kini berada pada tahap bertaraf global, selari dengan keperluan pelaburan, perancangan ekonomi serta tadbir urus berasaskan data. - DagangNews.com

Terkini standard