amree14/10/2026 - 14:10 PINTU masuk Pavilion Malaysia di tapak World Expo di Osaka. - Foto kredit Japan Malaysia Association Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt – Perolehan syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara meningkat 8.3% kepada RM371.9 bilion pada 2024, dengan Indonesia muncul sebagai penyumbang terbesar, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan tersebut ujarnya, mencerminkan sumbangan positif operasi antarabangsa terhadap aktiviti perniagaan yang merentas sempadan, dengan sebanyak 2,413 syarikat sekutu Malaysia di luar negara terlibat dalam penjanaan perolehan berkenaan.
Sektor perkhidmatan mendominasi hasil keseluruhan dengan perolehan RM252.1 bilion, bersamaan kira-kira 67.8% daripada jumlah keseluruhan, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada prestasi syarikat Malaysia di pasaran antarabangsa.
"Sementara sektor pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian turut menyumbang kepada perolehan tersebut, yang menggambarkan penglibatan aktif syarikat Malaysia dalam pelbagai aktiviti ekonomi di luar negara," jelas DOSM dalam kenyataan.
Dari segi pasaran pula tambah agensi berkenaan, Indonesia mencatatkan perolehan yang paling tinggi iaitu mencecah sebanyak RM68.9 bilion, diikuti Vietnam dengan RM38.1 bilion dan Singapura sebanyak RM29.1 bilion.

Secara keseluruhan kata agensi tersebut, ketiga-tiga negara anggota ASEAN itu berjaya menjana sebanyak RM136.1 bilion, iaitu bersamaan kira-kira 36.6% daripada jumlah perolehan syarikat sekutu Malaysia di luar negara pada 2024.
Angka itu ujar DOSM, menunjukkan kepentingan pasaran Asia Tenggara terhadap operasi antarabangsa syarikat Malaysia, khususnya dalam kalangan negara serantau yang mempunyai hubungan perdagangan dan perniagaan yang rapat sejak sekian lama.
"Selain menyumbang kepada pendapatan korporat, operasi syarikat Malaysia di luar negara turut menjana peluang pekerjaan dengan menggaji seramai 433,801 pekerja sepanjang 2024," katanya.
Dalam pada itu, ia turut melaporkan jumlah pampasan yang dibayar kepada pekerja meningkat kira-kira 6.3% kepada RM27.1 bilion bagi 2024, berbanding RM25.5 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Peningkatan RM1.6 bilion itu mencerminkan pertambahan keseluruhan perbelanjaan pampasan pekerja dalam operasi syarikat milik Malaysia di luar negara, sekali gus memperlihatkan dimensi sumbangan operasi tersebut terhadap pasaran buruh negara tempat mereka beroperasi. - DagangNews.com






