Gamuda menang kontrak RM3.72 bilion projek MRT Keelung di Taiwan

WorldBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda menang kontrak RM3.72 bilion projek MRT Keelung di Taiwan Image from: Gamuda menang kontrak RM3.72 bilion projek MRT Keelung di Taiwan amree14/10/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Gamuda Berhad mengukuhkan kedudukan dalam pasaran infrastruktur global apabila usaha sama (JV) dengan syarikat Taiwan, MiTAC Information Technology Corp, memperoleh kontrak bernilai RM3.72 bilion bagi projek sistem Transit Aliran Massa (MRT) Keelung.

 

Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, kontrak terbaharu bagi kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan prasarana bagi rel bandar tersebut dianugerahkan oleh Jabatan Sistem MRT di bawah pentadbiran Kerajaan Bandar Raya New Taipei pada 14 Oktober 2026.

 

Tambahnya, projek yang bernilai NT$29.22 bilion (kira-kira RM3.72 bilion) itu dilaksanakan menerusi JV secara tidak diperbadankan, dengan Gamuda memegang kepentingan majoriti paling besar iaitu mencecah sebanyak 72.84%, manakala MiTAC pula hanya memiliki baki 27.16%.

 

"Berdasarkan kepada nisbah pegangan tersebut, bahagian nilai kontrak Gamuda dianggarkan sebanyak NT$21.28 bilion (kira-kira RM2.71 bilion), sekali gus menyumbang prospek yang amat besar ke atas pendapatan kumpulan berkenaan bagi tempoh pelaksanaan projek," jelasnya.

 

Projek MRT Keelung itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 15.6 kilometer yang merangkumi 13 stesen, dengan jajaran merentasi Taipei City, New Taipei City dan Keelung City. Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama 2,820 hari atau kira-kira 7.7 tahun.

 

Skop kerja merangkumi reka bentuk dan pembinaan landasan serta sistem rel, termasuk tren, bekalan kuasa, sistem isyarat, pintu penghadang platform, komunikasi, pemantauan pusat, kutipan tambang automatik dan peralatan penyelenggaraan depot.

 

Gamuda_DagangNews2026

 

Dalam pada itu, Gamuda menjelaskan, projek pembangunan rel berkenaan merupakan antara kerja tambahan yang sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi projek MRT Xizhi-Donghu, serta diperoleh syarikat tersebut pada 22 Oktober 2024.

 

"MiTAC mengkhusus dalam teknologi maklumat, integrasi sistem dan rumusan transformasi digital, termasuk sistem rel, serta berpengalaman luas dalam projek pengangkutan seperti Taipei Circular Line, Sanying Line dan Danhai Light Rail," katanya.

 

Dari sudut kewangan pula ujarnya, projek MRT laluan baharu tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 sehingga projek selesai.

 

Bagaimanapun, Gamuda memaklumkan projek infrastruktur rel berskala besar itu masih boleh terdedah kepada risiko pelaksanaan dan pembinaan, kekurangan pekerja mahir, perubahan kos, penyelarasan sistem serta pematuhan peraturan. 

 

Kumpulan namun akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurus dan mengurangkan risiko berkenaan. Projek itu turut mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk penggunaan bahan mesra alam, sistem cekap tenaga serta amalan pembinaan mampan.

 

"Gamuda turut mengesahkan bahawa tiada kepentingan langsung atau tidak langsung oleh pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mereka dalam projek berkenaan," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved