Malaysia catat pertumbuhan perbelanjaan pelancongan tertinggi di Asia Tenggara bagi 1H26 - Trip.com

14 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia catat pertumbuhan perbelanjaan pelancongan tertinggi di Asia Tenggara bagi 1H26 - Trip.com Image from: Malaysia catat pertumbuhan perbelanjaan pelancongan tertinggi di Asia Tenggara bagi 1H26 - Trip.com amree14/10/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Malaysia mencatatkan pertumbuhan perbelanjaan penerbangan dan hotel tertinggi di Asia Tenggara menerusi platform Trip.com, dengan kedua-dua kategori merekodkan peningkatan tiga angka tahun ke tahun (YoY) pada separuh pertama 2026 (1H26).

 

Menurut Trip.com, data tempahan platform itu turut menunjukkan minat pelancong antarabangsa semakin berkembang ke destinasi di luar Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang untuk memperluas manfaat ekonomi pelancongan ke lebih banyak kawasan di Malaysia.

 

Ujarnya, Johor Bahru di Johor semakin mendapat perhatian sebagai pintu masuk pelancong global, manakala Miri dan Sibu di Sarawak muncul sebagai antara bandar di Malaysia yang mencatatkan kadar pertumbuhan pesat dari segi minat pelawat luar negara.

 

"Ini sejajar cadangan peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan dalam Belanjawan 2027, selain langkah memperkukuh hubungan udara melalui geran padanan bagi pembukaan laluan dari China, India, Asia Tengah dan Eropah," katanya dalam kenyataan.

 

Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata kemudahan penerbangan terus, kepelbagaian tarikan dan pengalaman pelancongan serta peluang meneroka destinasi merupakan faktor penting menarik ramai pengunjung, termasuk ke lokasi kurang dikenali.

 

Dari segi ketibaan pelancong jelasnya, Tourism Malaysia melaporkan 28.8 juta ketibaan pelawat luar direkodkan dari Januari hingga Ogos 2026. Data Trip.com bagi tempoh sama turut menunjukkan tempahan penerbangan naik diterajui China, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

 

Stephane Thong Trip.com_DagangNews2026
STEPHANE THONG

 

Dalam pasaran domestik, rakyat Malaysia turut cenderung merancang perjalanan dengan purata tempahan pada 1H26 dibuat lebih sebulan sebelum tarikh. Malaysia juga disenaraikan antara lima negara aktif menggunakan aplikasi perjalanan berasaskan AI TripGenie pada 2025.

 

Trip.com turut akan meneruskan kempen bersama Tourism Malaysia dan rakan industri tempatan bagi mempromosikan destinasi di seluruh negara, termasuk memanfaatkan teknologi digital untuk membantu pelancong menemui tarikan serta perniagaan pelancongan yang lebih pelbagai.

 

"Kami juga melihat penganjuran banyak acara antarabangsa sebagai pemangkin kepada perbelanjaan pelancong. Data platform menunjukkan pengguna aktif Trip.com meningkat lebih 640% pada hari prajualan tiket konsert BTS di Kuala Lumpur," kata Thong.

 

Tempahan hotel di sekitar Sepang, Selangor ujar beliau, turut melonjak lebih 1,600% dalam tempoh beberapa hari selepas pengumuman kepulangan perlumbaan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) susulan perubahan lokasi asalnya daripada Bahrain.

 

Momentum itu tambahnya, dijangka membuka peluang baharu kepada sektor hospitaliti, pengangkutan, peruncitan dan perniagaan setempat, khususnya apabila Malaysia sekali lagi bakal menjadi tuan rumah kejohanan serantau bagi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada 2027.

 

Beliau turut berpandangan positif terhadap Belanjawan 2027 apabila ada mencadangkan pemberian rebat kepada penganjur acara jika diadakan di venue besar bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi banyak lagi acara yang bertaraf antarabangsa.

 

Thong berkata Trip.com komited menyokong ekosistem pelancongan digital Malaysia menerusi penggunaan teknologi AI, termasuk ciri Trip.Best yang menyediakan cadangan berdasarkan data pelancong sebenar, selain menarik ramai pelawat ketika kempen Tahun Melawat Malaysia pada 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved