DOSM: Sektor perkhidmatan catat pertumbuhan 6.9% kepada RM568.3 bilion pada suku kedua 2023 

LocalBusiness & Finance
9 Aug 2023 • 4:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DOSM: Sektor perkhidmatan catat pertumbuhan 6.9% kepada RM568.3 bilion pada suku kedua 2023

zulfadli

09/08/2023 - 16:16

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Hasil sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.9% tahun ke tahun pada suku kedua 2023 untuk merekodkan sebanyak RM568.3 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi sektor perkhidmatan pada suku kedua 2023 ini dipacu oleh segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan meningkat 5.9% kepada RM433.5 bilion.

Beliau berkata, ia diikuti oleh segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan dan segmen profesional, hartanah dan pentadbiran & khidmat sokongan masing-masing meningkat 10.1%dan 9.9% kepada RM79.5 bilion dan RM35.8 bilion.

Sementara itu, bagi pendapatan e-dagang, Mohd Uzir berkata, ia mencatatkan nilai sebanyak RM280.5 bilion iaitu bertumbuh 2.5% tahun ke tahun pada suku tahun kedua 2023.

"Walau bagaimanapun, pendapatan e-dagang menurun sebanyak -3.8% berbanding suku tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan Prestasi Sektor Perkhidmatan dan Pendapatan E-Dagang Suku Kedua 2023.

Beliau berkata, jumlah hasil pada suku kedua 2023 merekodkan kenaikan 1.4% atau RM8 bilion. Peningkatan ini turut didorong oleh segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan yang meningkat 1.2%.

Katanya, ia diikuti oleh segmen maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan dan segmen profesional, hartanah dan pentadbiran & khidmat sokongan masing-masing meningkat 2.1% dan 1.7%.

image is not available

"Jumlah pekerja dalam sektor ini ialah 4.4 juta orang, meningkat sebanyak 73,400 orang atau 1.7% tahun ke tahun.

"Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit dengan peningkatan sebanyak 30,600 orang atau 1.6%, diikuti subsektor pengangkutan & penyimpanan, meningkat sebanyak 14,900 orang atau 4.3%. Bagi suku tahun-ke-suku tahun, jumlah pekerja bertumbuh 0.4%, meningkat 18,500 orang," katanya.

Katanya, gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.2 bilion atau 3.9 peratus tahun ke tahun.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit yang bertumbuh 2% kepada RM14 bilion dan diikuti oleh pengangkutan & penyimpanan, meningkat 6.3% kepada RM2.9 bilion.

"Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, gaji dan upah menaik 0.8% untuk mencatatkan RM31.5 bilion pada suku kedua 2023," katanya. - DagangNews.com