Perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 4.3% kepada RM138.5 bilion pada Jun 2023 - DOSM
zulfadli
09/08/2023 - 15:17
KUALA LUMPUR 9 Ogos - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM138.5 bilion, meningkat 4.3% tahun ke tahun pada Jun 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi prestasi suku tahunan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM412.4 bilion pada suku tahun kedua, bertumbuh 5.7%.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan pada Jun disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.8% atau RM3.2 bilion kepada RM59.4 bilion.
Katanya, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 3.1% atau RM1.9 bilion kepada RM62.4 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 3.4% atau RM600 juta untuk berada pada RM16.7 bilion.
"Pertumbuhan 5.8% bagi perdagangan runcit pada bulan ini disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang terus menunjukkan trend peningkatan untuk mencatatkan 10.9% atau RM2.2 bilion kepada RM22.8 bilion," katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Jun 2023 di sini.
Menurut Mohd Uzir, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kenderaan (8.5%), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (12.6%), jualan runcit di kedai pengkhususan (2.7%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (2%) dan jualan runcit di gerai dan pasar (5.8%).
"Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini melonjak 1% dengan hampir semua kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan 3.1% dalam subsektor perdagangan borong disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat RM900 juta atau 7.8% kepada RM12.2 bilion.
Katanya, ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (4.8%), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (4.7%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (11.4%), jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (9.2%) dan jualan borong jentera, peralatan & bekalan (1.1%).
"Pertumbuhan 3.4% bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini didorong oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaran dan pembaikan kenderaan bermotor masing-masing dengan 18.3% dan 20%.
"Walau bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor menurun 3.8%. Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menyusut -1.9%, didorong oleh penurunan jualan kenderaan bermotor sebanyak -4.7%," katanya. - DagangNews.com


