KOTA BHARU - Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, sanggup menggunakan wang sendiri untuk membeli makanan dan membawanya kepada penduduk kampung yang dikunjunginya, kata bapanya, Kamaruddin Salleh, 69.
Menurut beliau, walaupun kelihatan seperti sumbangan kecil, ia menggambarkan keperibadian anak keempat daripada lima beradik itu yang penuh kasih sayang, pemurah dan begitu komited terhadap masyarakat yang berada di bawah jagaannya.
"Arwah bukan sekadar membawa bekalan perubatan, tetapi turut membawa rasa ihsan dan kasih sayang.
"Khidmat bakti arwah tidak terhad kepada bidang perubatan semata-mata," katanya semasa menerima kunjungan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.
Menurut beliau, sebagai doktor yang berkhidmat dengan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service), Allahyarhamah Dr Ainul Baraah sering melakukan perjalanan ke kawasan pedalaman.
Ujarnya, Allahyarhamah sukar dihubungi kerana memberikan rawatan perubatan kepada masyarakat yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan.
Sementara itu, Presiden MMA, Dr L Sivanaesan berkata, kunjungan itu amat bermakna memandangkan Allahyarhamah Dr Ainul Baraah merupakan anggota MMA.
Ujarnya, pemergian beliau bukan sahaja dirasai oleh keluarga, sahabat dan rakan sekerja, malah turut memberi kesan mendalam kepada seluruh warga MMA.
"Kita bukan sahaja kehilangan seorang anak perempuan, isteri dan ahli keluarga yang disayangi, malah kita turut kehilangan seorang anggota MMA yang amat dibanggakan.
"Sebagai anggota MMA, keluarga Allahyarhamah layak menerima manfaat kematian," katanya.
Menurut beliau, sebelum ini sumbangan segera bagi meringankan beban keluarga turut disampaikan oleh Pengerusi MMA Kelantan, Profesor Madya Dr Mohd Zulfakar Mazlan, sejurus selepas solat jenazah.






