
KUALA LUMPUR - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh membuat kejutan, apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka.
Menyandang portfolio Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, beliau berkata, peletakan jawatan itu berkuat kuasa minggu hadapan.
Pengumuman berkenaan dibuat Dr Akmal sewaktu menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Menerusi ucapan sama, pemimpin muda UMNO yang terkenal dengan kelantangannya itu turut menggesa perdamaian dalam parti, dengan menerima semula bekas ahli yang masih setia.
“Saya ingin merayu kepada kepimpinan parti supaya menghentikan pertelingkahan dalaman. Jika kita terus terperangkap dengan sengketa lama, masyarakat Melayu tidak akan dapat disatukan,” katanya.
“Dengan penuh rendah hati, saya memohon agar pintu UMNO terus dibuka kepada mereka yang masih menyayangi parti, walaupun ada antara mereka yang pernah digantung, dipecat atau menyertai parti lain. Masih belum terlambat untuk memberi mereka peluang, seperti yang disebut oleh Presiden UMNO semalam, walaupun sekadar sebagai pemerhati,” katanya.
Dr Akmal menerusi ucapan itu turut mendesak portal Malaysiakini membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam, berhubung penyiaran sebuah artikel yang disifatkan sebagai menghina perhimpunan UMNO.
“Kami tidak mahu artikel permohonan maaf. Saya dan Pergerakan Pemuda UMNO menuntut supaya kamu datang ke dewan ini dan memohon maaf secara terbuka,” katanya.
Beliau memberi amaran, kepimpinan Pemuda UMNO akan hadir ke pejabat portal terbabit sekiranya tiada wakil syarikat datang ke perhimpunan berkenaan untuk memohon maaf.
“Kami boleh berlembut jika didekati dengan cara beradab, tetapi jika ada sikap biadab, kami boleh bertindak seratus kali lebih tegas,” tambahnya. - Getaran, 15 Januari 2026
