
Personaliti media sosial dan juga seorang doktor, Dr. Malar Santhi telah menerima Anugerah Pekerja Contoh pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada Isnin lalu.
Beliau yang menerima anugerah terbabit mengatakan tidak menyangka usahanya berkongsi ilmu dalam bidang perubatan di media sosial selain tugasan hakikinya sebagai doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia telah dihargai dan diberi pengiktirafan.
Beliau yang di sebalik ‘Celoteh Dr Malar’ itu turut berterima kasih kepada kerajaan di atas penghargaan berkenaan.
Doktor terima anugerah hanya kerana popular?
Pun begitu, ada segelintir netizen tidak berpuas hati dengan pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Dr Malar kerana menganggap anugerah terbabit sepatutnya diberikan kepada pegawai perubatan yang lebih layak.
Seorang pengguna Twitter mendakwa anugerah tersebut sepatutnya diberikan kepada petugas kesihatan awam memandangkan beban kerja mereka lebih besar berbanding di swasta.
Hospital Columbia Asia tu private hospital. Keje macam nk mati pun, gaji sebulan pun bleh tahan 4-5 bulan hidup
Jauh benar beza workload emergency department hosp gov yg gaji jauh lg kurang n lg sibuk
Tweet sebegini mmg sengaja mengundang makian n kecaman pic.twitter.com/gBByoJj5lQ
— MakLampirBeraya (@ArwahMaklampir) May 2, 2023
Beberapa pengguna Twitter turut bersetuju dengan pandangan individu terbabit, dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan seharusnya lebih bijak dan peka untuk mengumumkan anugerah itu kerana ketika ini kelihatan seolah-olah ianya tidak adil disebabkan anugerah tersebut diterima oleh seorang doktor di hospital swasta.
Dakwa mereka, petugas kesihatan di hospital swasta menerima bayaran yang jauh lebih banyak dan bebanan kerja yang sedikit berbanding petugas kesihatan awam. Sebab itulah, mereka ada lebih banyak masa untuk berkongsi ilmu kepada masyarakat berbanding petugas kesihatan yang bekerja di sektor awam.

Bagaimanapun, ramai juga yang tidak bersetuju dengan pendapat pengguna Twitter itu kerana sesiapa sahaja boleh menerima anugerah terbabit dan tidak perlu membangkitkan isu tersebut.
Dr Malar dikenali ramai dengan kepetahan berkongsi pelbagai maklumat berkaitan pandemik Covid-19, vaksin dan masalah kesihatan menerusi laman sosial dengan bahasa Melayu yang fasih.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


