
PUCHONG: Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan membentangkan Belanjawan Bayangan 2027 pada 6 Oktober ini, iaitu tiga hari sebelum Kementerian Kewangan (MOF) membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Rafizi Ramli berkata, pembentangan berkenaan merupakan sebahagian daripada proses pembangunan dasar yang bertujuan membantu mengembalikan politik negara kepada pertembungan idea dan dasar.
Beliau berkata, Belanjawan Bayangan itu akan memberi tumpuan antaranya kepada dasar fiskal, percukaian serta kemampuan pembiayaan bagi memastikan setiap cadangan yang dikemukakan mempunyai asas kewangan yang jelas.
“Antara perkara yang kita lihat ialah kemampuan pembiayaan. Kita mahu setiap dasar yang dicadangkan bukan sekadar janji, tetapi mempunyai asas dari segi kewangan dan kemampuan negara untuk melaksanakannya.
“Ini penting kerana budaya politik di Malaysia sebelum ini banyak menyaksikan janji dibuat tanpa elemen kos yang jelas,” katanya semasa sidang akhbar di ibu pejabat Parti Bersama Malaysia (Bersama) di Putra Perdana, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Rafizi berkata, terdapat negara lain yang mempunyai badan bebas bagi menilai kos dan implikasi kewangan sesuatu dasar yang dicadangkan oleh parti politik.
“Di negara lain, ada badan bebas yang boleh membuat penilaian terhadap kos sesuatu janji atau dasar. Kita tidak mempunyai mekanisme seperti itu.
“Jadi, parti politik bebas untuk menjanjikan apa sahaja tanpa perlu menunjukkan berapa kosnya dan dari mana pembiayaan itu akan diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu antara penambahbaikan yang akan dibawa Bersama menerusi pendekatan setiap program atau dasar yang dicadangkan perlu disertakan pengiraan kos.
“Penambahbaikan yang kami buat ialah setiap program yang dicadangkan perlu disertakan kos. Ini supaya rakyat boleh melihat dengan jelas berapa kos sesuatu dasar, siapa yang akan mendapat manfaat dan bagaimana ia hendak dibiayai.
“Kita mahu wujud disiplin dalam pembangunan dasar, bukan sekadar mengemukakan cadangan yang kelihatan baik tetapi akhirnya tidak boleh dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Rafizi berkata, Bersama turut memberi perhatian kepada isu struktur negara menerusi penerbitan Kertas Kancil, iaitu kertas dasar yang memperincikan masalah struktur yang dihadapi negara.
Katanya, isu berkenaan memerlukan penyelesaian secara tuntas dan tidak boleh ditangani hanya melalui langkah jangka pendek.
“Pendekatan kita bukan sekadar melihat kepada apa yang popular untuk dilaksanakan, tetapi apa yang perlu dibuat bagi menyelesaikan masalah struktur negara dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN
The post Bersama bentang Belanjawan bayangan lebih awal dari MOF appeared first on Utusan Malaysia.






