Dr Wan Azizah: Perluas saringan kanser payudara ke pedalaman

LocalHealth & Fitness
16 Oct 2026 • 4:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Dr Wan Azizah: Perluas saringan kanser payudara ke pedalaman

Dr Wan Azizah gesa akses saringan kanser payudara diperluas ke pedalaman kerana 50.5% kes di Malaysia didiagnosis pada tahap tiga dan empat.

KUALA LUMPUR: Akses saringan awal kanser payudara perlu diperluas, khususnya ke kawasan pedalaman bagi meningkatkan pengesanan penyakit itu pada peringkat awal memandangkan 50.5 peratus kes di Malaysia didiagnosis pada tahap tiga dan empat.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata usaha tersebut memerlukan penglibatan menyeluruh individu, keluarga, masyarakat dan majikan, termasuk penggunaan teknologi bagi memudahkan wanita mendapatkan akses kepada saringan itu.

“Paling penting, jangkauan kempen sebegini mestilah benar-benar sampai ke akar umbi, terutama di kawasan pedalaman yang boleh memanfaatkan kemajuan teknologi untuk mendapatkan saringan ini.

“Selain itu, kadang-kadang wanita tak ada masa. Jadi kita nak tengok macam mana kita boleh buat outreach,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen ESG Wellness 2026 sempena Pink October di sini hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, berkata Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia bagi tempoh 2017 hingga 2021 turut menunjukkan kanser payudara merupakan kanser paling lazim di negara ini, merangkumi 17.6 peratus daripada keseluruhan kes kanser didaftarkan.

Beliau berkata pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan dengan melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan jantina, selain kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kempen kesedaran serta bantuan subsidi sampai kepada kumpulan sasaran.

“Kita tidak seharusnya bertindak secara silo. Kempen kesedaran wajar dilaksanakan seawal mungkin untuk setiap peringkat umur tanpa mengira jantina kerana setiap orang boleh memainkan peranan masing-masing bagi memastikan orang yang kita sayang menjalani saringan awal kanser payudara ini,” katanya.

Dr Wan Azizah turut mencadangkan Malaysia mempelajari pendekatan Sweden yang melaksanakan saringan tahunan serta Jepun yang memastikan majikan menyediakan masa dan kemudahan kepada pekerja wanita untuk menjalani pemeriksaan payudara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Klinikal (Surgikal) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Nor’azim Mohd Yunus berkata kempen itu memberi tumpuan kepada tiga inisiatif utama iaitu Dana Diagnostik Kanser Payudara B40 di bawah PPUMCare, Dana Pembedahan Payudara dengan Bantuan Robotik B40 dan sokongan psikososial menerusi Kumpulan Sokongan Kanser Payudara UMMC Candy Girls.

Beliau berkata PPUM komited mengintegrasikan kepakaran klinikal, penyelidikan dan inovasi, selain menekankan pencapaian hospital itu dalam melaksanakan pembedahan robotik pertama bagi rawatan kanser payudara di Malaysia.

Katanya Yayasan Canone Kianjoo turut menyumbang RM250,000 bagi menyokong pembedahan robotik untuk pesakit B40 yang layak, tertakluk kepada penilaian klinikal, manakala kempen itu menerima sumbangan tunai berjumlah RM417,080 daripada 55 penaja dan rakan penyumbang setakat 15 Okt lepas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved