Isteri kanser, suami strok lupakan impian miliki zuriat

Health & FitnessLifestyle
10 Oct 2026 • 9:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Isteri kanser, suami strok lupakan impian miliki zuriat

PUTRAJAYA – Ujian bertimpa buat seorang bekas pesakit kanser payudara apabila disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD), seterusnya perlu menjaga suami didiagnosis penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) berkaitan saraf.

Bertambah berat ujian Nurussobah Md Jazam, 43, yang juga jururawat di Institut Endokrin Hospital Putrajaya apabila penyakit suaminya, Mohd. Shahren Sindoi, 40, tidak boleh sembuh, manakala ubat pula hanya untuk mengurangkan menjadi lebih teruk.

Berkongsi kisahnya, Nurussobah berkata, dia kini cancer survivor (pejuang sakit kanser) selepas di­diagnosis kanser payudara pada lima tahun lalu.

“Saya menjalani pembedahan pertama untuk payudara pada 2020 disusuli pembedahan ke­dua pada 2021. Kemudian selesai kemoterapi, radioterapi dan targeted therapy (terapi sasaran) pada 2021 iaitu ketika pandemik Covid-19.

“Bayangkan saya perlu uruskan sendiri. Masa itu duduk berjauhan dengan bekas suami (perkahwinan pertama) di Kelantan. Cuma dapat semangat dan motivasi daripada kawan-kawan termasuk keluarga,” katanya di sini baru-baru ini.

Wanita yang belum dikurniakan zuriat itu berkata, sehingga kini dia telah menjalani enam pembedahan susulan penyakit kanser tersebut selain terpaksa mengambil keputusan membuang rahim.

“Kalau ikutkan saya dah enam kali operation (bedah), saya juga dah buang rahim semuanya pada tahun lalu. Doktor kata, saya ada kanser payudara dan takut ada jadi (sesuatu tidak diingini).

“Jadi saya dan suami ambil keputusan buang rahim dan kami tak berhasrat untuk ada anak. Sebab saya sakit. Suami pula ada lima anak daripada perkahwinan dahulu,” katanya.

Nurussobah berkata, ujian seterusnya apabila disahkan me­ngalami MDD didakwa berpunca daripada pelbagai faktor terma­suk berkemungkinan trauma daripada perkahwinan dahulu.

“Kemurungan macam tak nak mandi, tak nak makan, menangis sahaja. Doktor cakap saya MDD, tapi tak lah teruk sangat. Saya boleh berfungsi, datang pergi kerja. Tetapi bila disahkan kan­ser, saya cuba menolak rawatan daripada doktor,” ujarnya.

Ditanya berhubung penyakit ALS, Mohd. Shahren, Nurussobah berkata, pada November tahun lalu suaminya mengadu mengalami sakit-sakit badan, letih, namun tiada simptom yang spesifik.

“Tapi sejak Januari 2026, kea­daannya semakin lama semakin lemah dari tangan ke kaki. Jumpa doktor dan telah disahkan ALS. Ubat diperlukan pula perlu kelulusan tandatangan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Ubat itu hanya untuk melam­batkan perkembangan penyakit. Sebagai contoh, sebelum ini mungkin hanya boleh guna tangan setahun dan bila makan ubat, tangan itu boleh guna dua atau tiga tahun lagi,”
katanya.

Dia berkata, suaminya juga terpaksa berhenti kerja kilang di Shah Alam susulan penyakit tersebut yang menghalangnya untuk bekerja.

“Dia boleh berjalan di dalam rumah, tetapi macam budak jalan bertatih sikit-sikit. Dia tak larat, nak makan pun kena berhenti sekejap-sekejap,” katanya.

Jelasnya, bagi memudahkan pemantauan, dia memasang televisyen litar tertutup (CCTV) untuk melihat keadaan suaminya dari tempat kerja.

The post Isteri kanser, suami strok lupakan impian miliki zuriat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved