
KUCHING – Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, pada 8 September lalu disenarai antara penerima Anugerah Kebesaran Negeri Sarawak bersempena dengan Sambutan Hari Lahir ke-80 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
Mereka ialah Alexson Adit Henry, Debra Moset, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Jessie Paya Jok dan Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
Kesemua mereka dianugerahkan Pegawai Bintang Sarawak (PBS) secara anumerta.
Sebanyak 1,350 individu tersenarai untuk menerima anugerah kebesaran negeri bersempena dengan sambutan itu.
Pada 8 September lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang.
Alexson, Debra dan Jessie berasal dari Sarawak, manakala Dr Ainul Baraah dari Kelantan dan Kapten Zainol dari Negeri Sembilan. – BERNAMA
The post Nahas Long Lellang: Lima mangsa terima anugerah kebesaran Sarawak appeared first on Kosmo Online.






