
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri ingin melelong jam tangan berjenama Rolex yang diterima sebagai hadiah daripada Raja Saudi, DYMM Salman Abdulaziz al-Saud.
Dr Zulkifli menerusi hantaran di Facebook berkata, dia menerima cendera mata tersebut selepas mewakili mufti dan ulama Malaysia dalam menyampaikan ucapan di hadapan baginda.
“Kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila saya mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.
Saya diminta oleh Kerajaan Malaysia, selaku Mufti Wilayah Persekutuan, untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz hafizahullahu ta’ala dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.
“Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St. Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya. Lantas saya minta pegawai saya Dr. Aizam untuk mengambilnya.




