
Beberapa minggu lalu, tular satu gambar menunjukkan seorang pegawai polis wanita memakai jam tangan mewah berjenama Rolex semasa menunjukkan bahan bukti kes siasatan.
Kontroversi bermula apabila gambar berkenaan tersebar menerusi Telegram yang mendakwa jam tangan terbabit dikatakan bernilai lebih RM200,000.
Bagaimanapun, Jabatan Standard Integriti dan Pematuhan Polis Persekutuan (JIPS) telah menafikan dakwaan yang digembar-gemburkan oleh netizen mengenai gambar tersebut.
Artikel berkaitan: Pelajar Perempuan Jadi Perhatian, Pakai Jam Mewah Richard Mille Ketika Naik Pengangkutan Awam
Artikle berkaitan: “Rolex paling banyak” – Kes Kecurian & Kehilangan Jam Tangan Mewah Dianggar Bernilai RM 6 Billion

Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad mengesahkan bahawa pemeriksaan lanjut mendapati jam tangan berkenaan mempunyai reka bentuk yang hampir sama dengan jenama mewah itu, namun ia bukanlah model Rolex sebenar.
Katanya, hasil siasatan pihaknya mendapati jam tangan mirip jam mewah itu di beli di Genting Premium Outlet (GPO).
“Pihak JIPS sudah membuat siasatan, hasil siasatan pegawai wanita berkenaan menyerahkan resit pembelian dan membuktikan jam terbabit bernilai RM570.
“Pegawai kanan wanita itu berkhidmat di Pulau Pinang dan sudah diberi bukti pembelian dan punca kewangan,” jelasnya.
Susulan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat tuduhan melulu sehingga menyebabkan kegentaran awam.
“Saya minta supaya masyarakat di luar sana memeriksa terlebih dahulu sebelum menularkan perkara sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, Azri mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat kepada polis mengikut saluran yang betul dan akan menyiasat maklumat yang diberikan.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

