
PETALING JAYA – AmBank Group menyambut baik Belanjawan 2027 yang disifatkannya sebagai pelan praktikal untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang mencabar, selain meneruskan agenda reformasi fiskal negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, ia menyokong pertumbuhan ekonomi tanpa mengetepikan tanggungjawab fiskal, di samping memberi keyakinan kepada isi rumah dan perniagaan untuk merancang, berbelanja serta melabur.
“Belanjawan 2027 melindungi perbelanjaan isi rumah, menyokong pelaburan perniagaan dan memastikan reformasi fiskal terus berada di landasan.
“Fokus utama kini adalah memastikan langkah-langkah ini dilaksanakan dengan pantas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Belanjawan 2027 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus tahun depan, manakala defisit fiskal disasarkan berkurangan kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 3.6 peratus pada 2026.
Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peningkatan jaminan pembiayaan menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) kepada RM32 bilion akan membantu meningkatkan akses kepada kecairan serta menyokong pengembangan perniagaan.
“Langkah berkaitan automasi, pendigitalan dan kecerdasan buatan juga dapat membantu syarikat mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti.
“Peningkatan gaji dan produktiviti perlu bergerak seiring. Perniagaan memerlukan pembiayaan, teknologi dan kemahiran supaya pembayaran gaji yang lebih tinggi dapat dikekalkan.
“AmBank bersedia memainkan peranannya dengan bekerjasama bersama pelanggan, rakan industri dan institusi awam bagi menterjemahkan keutamaan Belanjawan 2027 kepada pelaburan, perniagaan yang lebih kukuh dan keterangkuman kewangan yang lebih meluas,” tambah Jamie. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027 lindungi perbelanjaan isi rumah, sokong perniagaan appeared first on Kosmo Online.






