
KLANG – Penggunaan dron membongkar kegiatan sebuah kilang memproses sekerap plastik yang dipercayai menjadi punca air hijau berbau busuk mengalir ke parit awam di Jalan Udang Galah, Telok Gong, di sini, semalam.
Lebih mengejutkan, operasi bersepadu bermula pukul 9.30 pagi itu mendapati loji rawatan air sisa di premis berkenaan tidak berfungsi sepenuhnya, sekali gus mengundang risiko pencemaran berterusan.
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang, Norfiza Mahfiz berkata, operasi berkenaan susulan aduan berkaitan pencemaran air dan bau di parit awam di lokaliti berkenaan.
Menurutnya, pemantauan termasuk menggunakan dron oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) membawa kepada penemuan sebuah kilang memproses sekerap plastik yang disyaki menjadi punca pencemaran.
“Pemeriksaan lanjut mendapati loji rawatan air sisa didapati tidak berfungsi sepenuhnya atau digunakan untuk merawat keseluruhan air basuhan daripada aktiviti pencucian sekerap plastik.
“JAS Selangor telah menahan operasi mesin mencuci sekerap plastik dan mengambil sampel untuk tindakan lanjut, selain tindakan notis niat pembatalan lesen telah dikeluarkan terhadap kilang itu,” katanya, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Dron bongkar dalang punca air jadi hijau, busuk appeared first on Kosmo Online.


