‘Syurga’ kami dirampas orang kaya

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Syurga’ kami dirampas orang kaya

PONTIAN – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa binaan Singapura di daerah ini rupanya mengundang lebih banyak masalah apabila menyebabkan sungai di situ semakin sempit selain berbau busuk hingga menjejaskan rezeki nelayan.

Nelayan di Kampung Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang di sini mendakwa, air sungai bertukar hitam dan berbau busuk terutama selepas hujan akibat alirannya yang tersekat disebabkan pembuangan sisa binaan tersebut.

Pengerusi Pakatan Nelayan Simpang Kiri, Sahrizal Sirang, 45, mendakwa, kerja-kerja penambakan pemaju atau kontraktor tidak mengambil kira kedudukan sungai.

Katanya, sebahagian anak sungai turut tertimbus akibat timbunan sisa bahan binaan menyebabkan aliran air tidak ­mengalir ketika hujan lebat.

“Bukan sahaja rumah penduduk retak, tanah perkuburan juga menerima kesan selain jalan rosak. Masyarakat nelayan yang mencari makan ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang turut menerima akibatnya.

“Masalah ini pernah diadukan kepada Jabatan Alam Sekitar Johor kerana penambakan sisa bahan binaan menyebabkan kea­daan air sungai tidak lagi se­perti sebelum ini,” katanya kepada ­Kosmo! Ahad.

Selasa lalu, Kosmo! melaporkan Singapura mengarahkan semua penghantaran sisa bahan binaan ke Malaysia dihentikan serta-merta selepas isu tersebut dibongkarkan.

Arahan itu dimaklumkan Agensi Sekitaran Kebangsaan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Johor.

Menurut Sahrizal, pemilik tanah atau kontraktor mungkin telah mengaut keuntungan daripada aktiviti berkenaan, namun golongan nelayan terpaksa menanggung penderitaan berpanjangan apabila hasil tangkapan semakin merosot.

“Kita meminta kontraktor mengambil semula sisa-sisa bahan binaan yang berada berhampiran sungai atau menutup aliran anak sungai dan membuangnya ke tempat yang sepatutnya,” katanya.

Abd. Jalil Abd. Manap, 59, pula berkata, sebelum kerja-kerja penambakan dilakukan, sekumpulan 30 nelayan di situ mampu memperoleh antara tujuh hingga lapan kilogram hasil tangkapan setiap kali turun ke laut.

Namun katanya, selepas su­ngai tercemar dengan berbau busuk, hasil tangkapan tinggal satu hingga dua kilogram sahaja dan ada kalanya kosong.

“Dengan kos sara hidup yang tinggi, kehidupan nelayan semakin tertekan dan sukar untuk memperoleh pendapatan yang mampu memberikan keselesaan kepada ahli keluarga.

“Isu tambakan mungkin hampir selesai, tetapi masalah kami masih belum ada jalan penyelesaian. Kami berharap agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Persatuan Nelayan Johor Selatan dapat turun padang melihat sendiri kehidupan kami,” katanya.

Sementara itu, Rahim Halim, 59, berkata, sungai berhampiran kawasan penambakan sisa bahan binaan yang sebelum ini menjadi lubuk rezeki kini bukan lagi ‘syurga’ buat nelayan.

Katanya, jika sebelum ini mereka mampu memperoleh antara RM150 hingga RM200 setiap kali turun mencari rezeki, kini untuk dapat RM20 amat sukar.

“Bagaimana kami hendak meneruskan kehidupan bersama ahli keluarga? Kami berharap ada pihak yang boleh membantu kami menuntut pampasan atau ganti rugi,” katanya.

The post ‘Syurga’ kami dirampas orang kaya appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved