
IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel air di tiga lokasi di Kampung Sitiawan, Lumut, bagi mengenal pasti punca kejadian ikan mati di Sungai Sitiawan pada 30 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, sampel air berkenaan diambil di pelantar Wak Dol, penginapan D’ Chalet dan Tanjung Uda River Resort.
Katanya, hasil siasatan di lokasi aduan mendapati beberapa ekor ikan dan hidupan laut lain ditemui mati serta timbul di permukaan air.
“Di lokasi pertama iaitu pelantar Wak Dol, ikan yang ditemui mati terdiri daripada ikan-ikan kecil manakala di lokasi kedua di penginapan D’ Chalet, ikan yang mati adalah bersaiz lebih besar.
“Pensampelan secara in-situ dan pengambilan sampel untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia turut dijalankan di ketiga-tiga lokasi tersebut dengan bacaan oksigen terlarut (DO) direkodkan pada 5.86 miligram seliter (mg/L) di Pelantar Wak Dol, 3.79 mg/L di D’ Chalet dan 1.59 mg/L di Tanjung Uda River Resort,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan juga dijalankan di sebuah kilang dengan sampel efluen industri telah diambil takat pelepasan akhir premis.
Katanya, pengambilan sampel itu bertujuan untuk memadankan sampel dari premis berkenaan dengan sampel air sungai.
“Pasukan siasatan juga mengenal pasti berlaku kerosakan ‘valve blower’ di loji rawatan kumbahan (STP). Bagaimanapun, sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil kerana kadar alir sangat rendah iaitu 0.583 meter padu sejam,” katanya.
Tambah beliau, JAS akan menunggu hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel air sungai dan sampel efluen industri yang diambil.
Katanya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya hasil analisis mendapati berlaku pencemaran atau wujud kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
“JAS juga akan meneruskan pemantauan di kawasan berkenaan selain menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan terhadap premis-premis berhampiran yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai,” katanya. – UTUSAN
The post JAS ambil sampel di tiga lokasi untuk kesan punca ikan mati di Kampung Sitiawan appeared first on Utusan Malaysia.





