
KOTA TINGGI: Dua unit dron berjarak jauh digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, operasi SAR hari kedua ini telah digerakkan seawal pukul 7 pagi tadi.
Menurut beliau, seramai 41 anggota dan beberapa aset termasuk bot milik pelbagai agensi keselamatan terlibat dalam operasi hari ini.
“Operasi SAR ini diteruskan untuk hari kedua, selain keanggotaan yang terdiri daripada pelbagai agensi, kita turut menggunakan beberapa aset seperti bot dan juga dron berjarak jauh dengan radius 20 kilometer.
“Sejak SAR diaktifkan pagi semalam, seorang daripada empat mangsa hilang telah berjaya ditemukan pada pukul 1.25 petang. Manakala usaha mencari tiga lagi mangsa masih diteruskan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Najib, operasi SAR yang dijalankan pihaknya meliputi kawasan dua batu nautika kawasan Barat Laut Pantai Tanjung Lompat, di sini.
“Ketika kejadian air pantai dalam keadaan surut, mungkin pada pukul 12 tengah hari nanti baharu air akan pasang. Usaha pencarian akan dibuat secara berfasa, iaitu ketika air surut dan juga air pasang,” katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd. Syamsuri Mohamad dilaporkan berkata, empat remaja lemas selepas mengunjungi kawasan pantai bersama beberapa rakannya.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 8.20 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.
“Mangsa pertama yang ditemukan dikenalpasti sebagai Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16,” katanya.
Sementara itu, tiga lagi mangsa yang belum ditemukan dikenalpasti sebagai Mohamad Haiman Fitri Supian; Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor.-UTUSAN
The post Dron jarak jauh diguna bantu operasi SAR di Pantai Tanjung Lompat appeared first on Utusan Malaysia.






