ARAU - Pempengaruh media sosial, Datuk Dr Syed Azuan Al-Idrus diambil keterangan atas dakwaan mendatangkan provokasi dan gangguan awam semasa majlis rasmi kerajaan negeri di sebuah inap desa di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, keterangan diperlukan bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan berhubung provokasi yang ditimbulkan dalam majlis Perlis Mendengar Rintihan Rakyat itu.
Menurutnya, majlis menampilkan sesi dialog antara pemimpin utama dan rakyat, dipengerusikan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah bersama panel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Datin Marzita Mansor dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth.
"Ketika sesi soal jawab berlangsung, Datuk Syed Azuan atau lebih dikenali sebagai DSA didakwa secara lantang bertanyakan beberapa soalan berkenaan isu di Negeri Perlis namun tidak dapat mengawal emosinya lalu berjalan ke hadapan pentas dan mengeluarkan kata-kata kesat seperti 'lahanat' yang ditujukan kepada YDP MPK sambil disaksikan oleh orang awam.
"Bagaimanapun DSA berjaya dihalang dan ditenangkan oleh pihak penguasa dan dibawa keluar," katanya.
Menurut Ahmad Mohsin, hasil rakaman percakapan, pengadu mengatakan ketidakpuasan hati dan kekecewaan terhadap lelaki terbabit umpama tidak menghormati barisan pemimpin tertinggi Negeri Perlis dan juga majlis rasmi kerajaan negeri.
Katanya, sesi soal jawab itu dikendalikan Abu Bakar sementara DSA mempersoalkan berkenaan isu Smart Parking, sambungan kontrak YDP MPK dan kutipan sampah terhadap panel.
"Menteri Besar telah memberikan penerangan dengan jelas ke atas semua persoalan yang dilemparkan namun DSA masih tidak berpuas hati kerana soalan yang ditujukan tidak dijawab oleh YDP MPK sendiri.
"Disebabkan itu, difahamkan, individu tersebut tidak dapat mengawal emosi dan mengeluarkan perkataan kesat 'lahanat' kepada YDP MPK selain bertindak dalam keadaan marah serta menuju ke hadapan pentas seolah-olah mencabar YDP MPK, namun dihalang," katanya.
Beliau berkata, hasil penelitian pegawai penyiasat kes, program itu dianggarkan dihadiri sekitar 50 orang awam termasuk 13 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Jelas Ahmad Mohsin, setelah diambil keterangan, DSA telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Program Perlis Mendengar Rintihan Rakyat yang berlangsung di sini bertukar tegang apabila isu sistem parkir berpalang kembali dibangkitkan di hadapan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah pada Sabtu.
Program dialog bersama rakyat yang turut disertai pimpinan kerajaan negeri itu pada awalnya berlangsung dalam suasana tenang sebelum beberapa isu panas berkaitan pentadbiran negeri dibangkitkan secara terbuka.
