
BAGI ibu bapa yang mempunyai anak kecil dengan masalah kesihatan tertentu, tiada apa yang lebih merisaukan selain terpaksa menunggu giliran yang lama untuk pembedahan.
Setiap hari yang berlalu pastinya dipenuhi dengan debaran, memikirkan kesan kelewatan rawatan terhadap perkembangan si manja.
Memahami rintihan dan dilema keluarga kurang berkemampuan ini, Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) tampil membawa sinar harapan baharu dengan melancarkan satu inisiatif kolaborasi murni yang cukup menyentuh hati.
Melalui kerjasama strategik bersama Yayasan Hope for Children (HFCF) dan disokong oleh Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur, hospital pakar di bawah rangkaian KPJ Healthcare Berhad ini sedia membuka pintu mereka demi memperluas akses pembedahan pediatrik.
Langkah proaktif ini sebenarnya bertujuan untuk membantu mengurangkan senarai menunggu yang panjang bagi rawatan kanak-kanak dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Pada masa sama, mengelakkan risiko komplikasi perubatan yang lebih serius yang boleh menjejaskan kesejahteraan masa depan mereka.

Di bawah program yang sangat bermakna ini, pesakit pediatrik yang layak akan dikenal pasti dan dirujuk oleh HTA melalui HFCF untuk menjalani prosedur pembedahan terpilih di DSH2, termasuklah kes-kes seperti hernia dan masalah testis tidak turun (UDT).
Rangka kerja penajaan juga disusun dengan begitu kemas di mana HTA bertindak menyaring pesakit yang sesuai, manakala pihak HFCF pula akan membiayai sepenuhnya kos pembedahan berserta sokongan logistik yang berkaitan.
Bagi memastikan kelancaran rawatan, DSH2 pula menyumbang dari segi kepakaran perubatan, menyediakan kemudahan bilik bedah yang serba canggih, penjagaan kejururawatan yang rapi, sehinggalah kepada pengurusan pasca operasi.
Komitmen luar biasa ini turut dijayakan oleh barisan pakar bedah pediatrik dan profesional kesihatan yang berdedikasi tinggi, termasuk Pakar Bedah Pediatrik DSH2, Dr Abdul Razak Mohammed yang sedia memberikan rawatan terbaik buat anak-anak ini.

Sinergi hebat antara institusi awam, swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO) ini diraikan dalam satu majlis pelancaran rasmi yang cukup meriah di DSH2, yang dihadiri oleh barisan pemimpin industri kesihatan, wakil HFCF, HTA, serta para pengamal media.
Rata-rata wakil organisasi yang hadir senada menekankan betapa pentingnya kerjasama rentas sektor sebegini diteruskan demi memastikan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, terutamanya anak-anak kecil, mendapat pembelaan dan rawatan pakar yang sewajarnya.
Langkah murni yang digerakkan oleh DSH2 itu bukan sahaja mencerminkan keprihatinan tinggi KPJ Healthcare Berhad dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negara, malah ia menjadi bukti bahawa sektor swasta mampu menjadi jambatan yang meringankan beban hospital kerajaan.





